Muhammad Hazim Hassan, 13, yang kisahnya rebah menjadi tular selepas menerima pelalian di Klebang, Melaka menerima kunjungan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali di rumahnya dekat Duyong pada 1 Okt 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ibu tegaskan anak rebah bukan sebab kesan sampingan vaksin

SHAH ALAM, 1 OKT: Ibu kepada remaja yang rebah selepas menerima pelalian di Klebang, Melaka semalam menegaskan anaknya itu terlalu gementar dan kejadian bukan disebabkan kesan sampingan vaksin Covid-19.

Ulfah Amat Daris, 41 berkata pada hari kejadian Muhammad Azim Hassan, 13 bersarapan dua bungkus nasi lemak sebelum dia bersama suami menemani remaja itu ke pusat pemberian vaksin (PPV) Encore, Klebang.

Bagaimanapun katanya, selepas selesai sesi pemantauan selama 30 minit, Muhammad Azim tidak sedap badan dan hampir rebah ketika sedang berjalan di ruang parkir sehingga dia terpaksa meminta bantuan anggota bertugas.

“Akak kecewalah sebab mereka tidak tanya pada kita dan sebar yang bukan-bukan. Selepas itu, ada yang kata tidak tidur, padahal anak saya tidur cukup, makan cukup sebelum pergi, memang akak suruh makan.

“Yang paling akak kecewa, dia kata anak akak sudah meninggal dunia, sampai macam itu sekali. Akhirnya anak akak mengadu dia malu dengan berita tular yang bukan-bukan itu. Yang sebenarnya dia terlalu takut,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Semalam, tular satu klip video berdurasi 36 saat di Facebook memaparkan pelajar lelaki berusia 13 tahun itu longlai dipercayai selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Encore, Klebang.

Remaja lelaki yang dilihat berada dalam keadaan terlalu lemah itu terpaksa dipapah oleh anggota bertugas serta orang awam yang berada di lokasi berkenaan.


Pengarang :