Poster pencarian Ikon Agro Selangor 2021 yang dikongsi di Facebook Ir Izham Hashim
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ikon Agro terima 19 permohonan, peserta disenarai pendek untuk temu duga

SHAH ALAM, 25 OKT: Sebanyak 19 permohonan pencarian Ikon Agro Selangor diterima sejak dibuka pada 19 Oktober sehingga tengah malam tadi.

Kategori pertanian merekodkan penyertaan tertinggi iaitu 12 individu, akuakultur (tiga) manakala penternakan dan agro pelancongan masing-masing dua.

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata senarai pendek peserta akan dipilih untuk ditemu duga selain menjalani penggambaran video di lokasi perusahaan membabitkan 14 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tarikh pengumuman calon senarai pendek akan diumumkan pada Khamis ini (28 Oktober) di halaman rasmi Facebook saya, Izham Hashim,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau turut berterima kasih kepada semua warga tani negeri ini kerana sentiasa menyokong program dilaksana Kerajaan Negeri.

Edisi kedua penganjuran itu menawarkan hadiah wang tunai RM10,000, bantuan kelengkapan pertanian dan sijil kepada ikon terpilih.

Penilaian juri berdasarkan penggunaan teknologi moden dan pengeluaran hasil yang menyumbang 70 peratus markah manakala baki ditentukan menerusi undian video di YouTube.

Ikon Agro Selangor berperanan sebagai duta kecil untuk sektor pertanian di negeri ini serta membimbing usahawan tani yang baharu berkecimpung.

Jawatankuasa pertanian negeri turut memantau Ikon Agro Selangor selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.

 


Pengarang :