Pemilik ladang buah naga, Sam Chia meluangkan masa bersama isteri, Lydia Goh dan anaknya, Eugene Chia bersiar-siar di ladang buah naga miliknya di Sepang baru-baru ini. Menyedari lambakan buah naga segar yang akan membawa persaingan sengit dan menjejaskan harga, Chia bersama keluarga membuka HL Restoran Buah Naga berkonsepkan “dari ladang ke meja makan”. Menu yang menarik minat pengunjung di restoran itu adalah Jumbo Dragon Bun yang rotinya diadun dengan buah naga, nasi lemak berwarna merah ungu dari buah naga dan minuman jus segar dikenali ‘Dragon Breath’ yang disajikan bersama salad, buah atau aiskrim dengan asap berkepuk-kepuk. Foto BERNAMA TERPELIHARA
RENCANA

Inovasi jadi penyelamat perniagaan buah naga ketika pandemik

Oleh Samantha Tan

SEPANG, 27 OKT: Buah naga yang turut dikenali sebagai buah pitaya, lazimnya dinikmati begitu sahaja selain dijadikan jus atau pencuci mulut, dan mungkin ada sesetengah pengusaha yang memproses buah daripada sejenis kaktus itu menjadi kerepek.

Namun, terlintaskah di fikiran kebanyakan kita untuk menggunakan buah itu dalam nasi lemak?

Kedengarannya agak janggal, akan tetapi itulah yang dilakukan oleh pengusaha ladang buah naga Sam Chia, 51, yang menghidangkan menu tersebut di restoran miliknya di Jalan Besar, Batu Satu di sini, kira-kira 66 kilometer dari Kuala Lumpur.

Sam yang mengusahakan ladang dan restoran itu bersama anaknya Eugene Chia, 24, berkata selain nasi lemak buah naga, beliau juga menyediakan roti buah naga berintikan kari ayam di restorannya yang berkonsepkan “dari ladang ke meja makan”.

Minuman jus segar dikenali ‘Dragon Breath’ yang disajikan bersama salad, buah atau aiskrim dengan asap berkepuk-kepuk antara menu pilihan pengunjung di Restoran HL Restoran Buah Naga yang berkonsepkan “dari ladang ke meja makan” di Sepang.
Makanan yang menarik minat pengunjung di restoran itu adalah Jumbo Dragon Bun yang rotinya diadun dengan buah naga dan nasi lemak juga dari buah naga. Foto BERNAMA

“Sudah ramai yang mula menanam buah naga, jadi kita kena kreatif memikirkan cara lain untuk mempelbagaikan produk daripada buah segar,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Inovasi penyelamat perniagaan semasa pandemik

Menurut Sam, anaknya Eugene tampil dengan idea kreatif itu bagi memastikan mereka tidak bergantung pada pengeluaran dan jualan buah segar semata-mata berikutan semakin ramai menceburi bidang penanaman buah naga.

“Bermula dari situ, kami mulakan jualan produk dan makanan yang dihasilkan daripada buah naga. Sambutannya amat baik, sama ada daripada masyarakat tempatan mahupun pelancong asing,” katanya yang telah tujuh tahun bergelar pengusaha ladang buah naga.

Sam berkata beliau memulakan perniagaan restoran itu yang dibina di ladangnya yang berkeluasan 1.2 hektar dan mempunyai 3,000 batang pokok buah naga, kira-kira tiga tahun lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata strategi mereka itu ternyata menjadi “penyelamat” kepada mereka sekeluarga dalam mengharungi kegetiran perniagaan semasa penularan pandemik Covid-19 memuncak yang turut menyaksikan eksport buah itu, antaranya ke Hong Kong, terhenti.

Menurutnya, mereka juga berdepan persaingan sengit daripada pengusaha ladang buah naga yang lain, sekali gus menyebabkan berlaku lambakan di pasaran tempatan.

Sambutan memberangsangkan

Anak jati Sepang itu berkata terdapat tiga jenis buah naga di ladangnya, iaitu buah naga kulit merah dengan isi berwarna ungu, kulit merah berisi putih dan kulit kuning berisi putih.

Nasi lemak berwarna merah ungu dari buah naga antara menu popular di Restoran Buah Naga yang berkonsepkan “dari ladang ke meja makan” di Sepang.
Menu lain yang menarik minat pengunjung adalah Jumbo Dragon Bun yang rotinya diadun dengan buah naga dan minuman jus segar dikenali ‘Dragon Breath’ yang disajikan bersama salad, buah atau aiskrim dengan asap berkepuk-kepuk. Foto BERNAMA

Menurutnya, ketiga-tiga jenis buah tersebut mempunyai peminat masing-masing dengan mereka yang gemarkan buah naga rasa manis akan memilih buah dengan isi ungu, sementara yang inginkan masam manis cenderung memilih buah isi putih.

Bercerita lanjut, bapa tiga anak itu berkata mereka menggabungkan rasa ketiga-tiga jenis buah berkenaan untuk menghasilkan resipi istimewa, iaitu roti “Jumbo Dragon Bun” berintikan kari ayam dan menjadi produk paling popular mereka.

Permintaan yang begitu memberangsangkan membuatkan mereka mempelbagaikan platform pemasaran dengan turut memanfaatkan penjualan dalam talian, sekali gus membantu menstabilkan perniagaan mereka semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Penjualan roti Jumbo Dragon Bun kini mencecah 100 hingga 200 biji sehari termasuk dalam bentuk sejuk beku. Kesemua ini kami edar di sekitar Lembah Klang,” katanya yang turut menyifatkan inovasi itu sebagai hikmah di sebalik Covid-19.

“Jika tidak, pasti kami akan menanggung kerugian besar kerana lambakan buah naga segar yang tidak terjual seperti apa yang terjadi kepada petani lain,” tambahnya.

Promosi agropelancongan

Sementara itu, Eugene yang bertanggungjawab menguruskan restoran tersebut, berkata industri hiliran berasaskan buah naga berpotensi memberikan pulangan yang tinggi kerana menawarkan sesuatu yang berbeza kepada pelanggan.

“Kami menawarkan menu nasi lemak buah naga yang mana nasi dimasak bersama buah naga segar serta jus dikenali ‘Dragon Breath’ yang disajikan bersama-sama salad, buah atau aiskrim,” katanya, menambah mereka juga menghasilkan kerepek buah naga sebagai pilihan kepada pelanggan yang tidak gemar buah segar.

Pengurus Restoran HL Restoran Buah Naga, Eugene Chia menunjukkan sijil halal oleh Kerajaan Malaysia di restorannya yang berkonsepkan “dari ladang ke meja makan”, baru-baru ini di Sepang.
Makanan yang menarik minat pengunjung di restoran itu adalah Jumbo Dragon Bun yang rotinya diadun dengan buah naga, nasi lemak juga dari buah naga serta minuman jus segar dikenali ‘Dragon Breath’ yang disajikan bersama salad, buah atau aiskrim dengan asap berkepuk-kepuk. Foto BERNAMA

Menurut Eugene, strategi perniagaan mereka bukan sahaja meningkatkan daya tahan perniagaan tetapi juga mencipta peluang pekerjaan untuk anak tempatan di daerah ini.

“Cef dan pekerja di restoran ini adalah anak Sepang,” katanya, menambah menerusi keunikan restoran itu mereka dapat membantu mempromosikan daerah Sepang sebagai destinasi agropelancongan.

Selain itu, ladang tersebut juga dijadikan “gedung ilmu” berkaitan buah naga untuk pengunjung yang mahu mengenali dengan lebih dekat akan tanaman berkenaan, khususnya dari segi khasiat.

Menurut Eugene, mereka turut membina sebuah struktur berbentuk buah naga setinggi tiga tingkat yang membolehkan pengunjung menikmati keindahan panorama kawasan ladang berkenaan.

Istimewanya, struktur itu dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai struktur buah naga terbesar di Malaysia, pada tahun ini.

– BERNAMA


Pengarang :