Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Mohamad (dua dari kiri) memasak ramuan untuk diletakkan di dalam hidangan Nasi Ambeng dalam Program `World Food Day 2021′ Makanan Tradisi Negeri Selangor di Kampung Sungai Lang Tengah, Banting pada 16 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Isteri MB luang masa demo masakan nasi ambeng

BANTING, 17 OKT: Isteri Dato’ Menteri Besar meluangkan masa ke Kampung Sungai Lang Tengah di sini semalam untuk membuat demo masakan nasi ambeng.

Demo dilakukan Datin Seri Masdiana Mohamad sempena sambutan Hari Makanan Sedunia 2021 peringkat Selangor yang mengetengahkan sajian warisan masyarakat Melayu dari etnik Jawa negeri ini.

Dibimbing Chef Sue M Arukin, Masdiana hanya memerlukan kira-kira 30 minit untuk menyiapkan lauk utama nasi ambeng iaitu ayam masak semur.

Mengakui penyediaan ramuan nasi ambeng bukan mudah, Masdiana berkata ia suatu pengalaman baharu buatnya memandangkan tidak pernah berbuat demikian sebelum ini.

“Sejak berkahwin dengan MB (Dato’ Menteri Besar), saya tidak pernah buat (nasi ambeng) melainkan sering tengok ibu mentua masak dan saya sekadar membantu, tetapi hari ini baru saya tahu cara (masak nasi ambeng) Selangor.

Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Mohamad menunjukkan Nasi Ambeng yang telah siap dalam Program `World Food Day 2021′ Makanan Tradisi Negeri Selangor di Kampung Sungai Lang Tengah, Banting pada 16 Oktober 2021. Turut kelihatan EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Borhan Aman Shah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Rasanya tidak lari dari (nasi ambeng) Johor cuma perbezaan dari segi penyediaan sehingga pembungkusan. Serunding ambil masa lama sikit sebab kena masak sehingga garing, begitu juga sambal jawa kerana perlu goreng satu-satu,” katanya.

Masdiana berkata ilmu dipelajari akan dimanfaatkan sebaiknya selain cuba memasak nasi ambeng untuk santapan keluarga.

“Insya-Allah, selepas ini boleh selalu masak lagipun nasi ambeng memang kegemaran suami,” katanya.

Dihidangkan dalam sebuah dulang atau talam besar dilapik daun pisang, nasi ambeng disertakan ayam masak semur, mi goreng, serunding kelapa, ikan masin bulu ayam dan sambal goreng.

Lazimnya, nasi ambeng disajikan untuk majlis keraian seperti kenduri doa selamat, acara rewang dan kenduri kahwin.

Selain Selangor, nasi ambeng juga terdapat di Johor, Perak dan Melaka.

 


Pengarang :