Imam-imam Masjid Negeri berdoa setelah selesai berselawat dan zikir ketika Program Rakyat Selangor Berdoa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 30 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jais edar ketetapan baharu bilangan jemaah masjid, surau esok

SHAH ALAM, 31 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan membuat edaran berhubung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor memperkenan mempertingkat jumlah jemaah masjid dan surau esok.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata edaran berkenaan membabitkan institusi yang terlibat di bawah pengurusan pihaknya.

“Ketetapan baru ini termasuklah jumlah bilangan jemaah solat Jumaat, fardhu lima waktu, aktiviti pengimarahan, akad nikah dan urusan jenazah.

“Siaran media mengenainya juga akan dikeluarkan serentak pada hari yang sama,” katanya menerusi kenyataan.

Hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan mempertingkat jumlah jemaah masjid dan surau negeri ini dengan mengambil contoh masjid negeri boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 ketika ini.

“Masjid-masjid daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing.

“Masjid-masjid institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah sementara masjid pengurusan antara 400 hingga 700 jemaah,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Baginda bertitah pertimbangan dan keputusan itu diambil setelah meneliti data-data terbaharu penularan wabak Covid-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian menurun kepada satu digit.


Pengarang :