Jemaah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) di ruang solat ketika tinjauan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 15 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jais syor tambah bilangan jemaah masjid, surau

SHAH ALAM, 15 OKT: Bilangan jemaah masjid dan surau di Selangor mungkin ditambah susulan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang baik untuk memutuskan penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya akan mengesyorkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk memberi kelonggaran.

“Seperti solat Jumaat di Masjid Negeri hari ini, SOP sangat baik dan ini memberi potensi besar untuk Sultan Selangor memberi pertimbangan kelonggaran lebih besar.

“Walaupun jumlah jemaah hari ini ditambah kepada 2,000 orang tetapi semua berdisiplin dan bersabar, saya yakin masjid di tempat lain pun sama,” katanya ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Pada 13 Oktober, Kerajaan Negeri bersetuju menambah jumlah jemaah solat Jumaat di Masjid Negeri kepada 2,000 orang berbanding 1,000 orang sebelum ini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan jumlah jemaah bagi solat lima waktu kekal 500 orang.

Dalam tinjauan SelangorKini di Masjid Negeri hari ini, setiap jemaah diminta menunjukkan pas dikeluarkan Jais yang boleh dimohon sehari sebelum solat Jumaat menerusi aplikasi Masjid Pro.

Mereka juga perlu menunjukkan sijil lengkap vaksin Covid-19, membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka sepanjang berada di masjid itu.


Pengarang :