BUDAYARENCANA

Jambatan Pekan Mak

Oleh Clariessa Kesulai

Ilustrasi matarojit

SEJAK dilahirkan di bawah jambatan menghala ke Pekan Mak, kau hanya melaluinya beberapa kali. Meski sudah dua puluh tahun, jambatan itu masih utuh menghubungkan dua cabang jalan namun jarang-jarang kenderaan menggunakan laluan itu sejak jalan pintas dibuka. Dalam 10 meter ke depan, terdapat enam buah rumah kayu yang telah diubah suai dengan atap zink dan kayu cengal.

Menurut penduduk di sana, dahulu selang setahun, akan berlaku kelahiran bayi di bawah Jambatan Pekan Mak, dan nasib si ibu juga anak akan sering menepati ramalan mereka; bayi yang bertelanjang dan bertali pusat itu akan ditemui dengan tangisan manakala ibunya lesap, usai meninggalkan darah hanyir yang masih pekat di tar jalan. Lebih meruntun hati, daging kecil itu jadi tidak bernyawa apabila mereka lupa menjenguk ke situ beberapa hari.

Begitulah khabar lebih menghempas hati apabila kau mula menyoal penduduk Pekan Mak tentang kejadian kelahiran dan pembuangan bayi bawah jambatan itu bertahun-tahun lamanya.

Murahkah nyawa si bayi untuk dipertaruhkan atas kesilapan ibunya? Mungkin reaksi masyarakat terhadap kejadian itu tidak harus dipersoalkan kerana seorang bayi seharusnya lahir di bilik bersalin hospital, ditunggu seorang lelaki bergelar bapa.

Rasa pilu, tidak puas hati sentiasa menyelubungi, bersama-sama persoalan belum terjawab tentang wanita yang melahirkan engkau. Kau pernah didatangi mimpi yang menggemakan rintih seorang wanita menahan kontraksi setengah jam sebelum bayinya dilahirkan. Sejak itu, kau mengandaikan wanita itu adalah ibu yang hanya sempat mengucup dahi dan pipi sebelum meninggalkan engkau seorang diri di bawah jambatan.

Sampai detik ini, hati kau sering dipujuk Tuhan untuk faham akan alasan dia melarikan diri dari tanggungjawab membesarkan kau seperti anak-anak yang seharusnya dibelai dan dimanjakan ibu mereka.

Jadi, keputusan menetap di setinggan berdekatan jambatan adalah untuk mencari ibumu yang bertahun-tahun hilang? Begitu andaian anak tuan rumah sewamu, yang memperkenalkan dirinya sebagai Chiong. Misai Chiong menampakkannya lebih matang daripada usia sebenar, malah matanya yang senang terjegil kurang menampakkannya sebagai seorang Cina.

Malah katanya, sebenarnya mungkin dia tidak berdarah Cina pun. Chiong sebaliknya yakin dia diasuh dengan nama tersebut oleh seorang penduduk berbangsa Cina di setinggan berdekatan jambatan Pekan Mak itu.

Kau mengajak Chiong berjaga malam setelah mengetahui dia senasib denganmu, cuma apa yang kalian lalui berbeza sehingga mencecah umur dewasa.

Semestinya kau amat bertuah apabila menemui keluarga angkat yang sudi mengasuh dan menghantar engkau memperoleh pendidikan sehingga ke luar negara. Sebaliknya Chiong hanya diwasiatkan ayah angkatnya untuk meneruskan penyewaan rumah setinggan mereka.

***

Dari laporan orang yang menemuimu di bawah jambatan, engkau mempunyai dua petunjuk: pertama, si ibu merupakan penduduk di situ, atau kedua, dia sekadar menjadikan jambatan tempat bersalin kerana bimbang dicemuh keluarga.

Engkau buntu. Tidak kau temui sebarang petunjuk. Amat sukar kerana engkau langsung tidak mengenali wajah atau mengetahui latar belakang wanita itu. Menurut Chiong, orang yang senasib denganmu memang ramai. Akhirnya, perasaan rindu itu dipendam dan hanya berdoa agar peluang bertemu muncul pada kemudian hari.

Untuk tempoh dua tahun, Chiong dan penduduk setinggan Jambatan Pekan Mak menganggap kes pembuangan bayi mulai selesai sejak pihak penguatkuasa menitikberatkan tindakan undang-undang. Namun bagi engkau, perubahan yang ada hanya menutup sebarang penjelasan tentang pertanyaan selama ini.

Chiong bertegas menahan engkau daripada pulang sebelum menemui kepuasan yang engkau mahu. Setidak-tidaknya, kepulangan engkau ke bandar nanti akan berakhir dengan ketenangan walaupun wanita yang membawa engkau ke dunia ini belum ketahuan alamat pusara atau penempatan barunya.

Petang itu engkau memberanikan diri mengikuti Chiong melihat pemandangan sepanjang jambatan sehingga engkau mengagumi kebersihannya apabila permukaan bawah jambatan hanya dipenuhi dedaun kering. Dalam sehari tidak lebih sepuluh kereta lalu sehingga menjadikan suasananya sunyi sekali.

Chiong memang mengambil berat kebersihan persekitaran Jambatan Pekan Mak. Jika dibiarkan, bahagian bawah jambatan itu akan suram serta bersepah dengan puntung rokok dan botol minuman. Keluasan kawasan bawahnya cukup memuatkan sekumpulan remaja yang sering menghabiskan masa merokok dan mengambil minuman keras. Yang lebih memudaratkan adalah jika anak-anak muda berlainan gender itu tidak segan melakukan perbuatan sosial.

Di seberang jambatan kelihatan deretan kedai serbaneka dan kedai runcit yang jadi tumpuan penduduk yang hampir mengecil kelompoknya. Golongan belia ramai berhijrah ke bandar dan rata-rata penduduk berusia pun hampir melupakan kes pembuangan bayi yang sering berlaku di bawah Jambatan Pekan Mak.

Namun, masalah pembuangan bayi di situ beredar mengikut perubahan zaman yang mencatatkan penambahan jenis gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

Engkau mengangguk perlahan mendengar celoteh Chiong sambil memandang ke arah bunyi bising ekzos motosikal di sepanjang jambatan. Dari belakang, kelihatan seorang wanita berwajah kusut-masai berlari memegang sebatang kayu mengejar kedua-dua pemilik motosikal yang sedang memecut laju. Suaranya nyaring memaki namun hanya disambut gelak ketawa kedua-dua mereka.

Dunia sudah terlalu kotor gamaknya bagi insan yang serba kekurangan untuk menempuhi hidupnya di sini. Dahulu, kau dan bayi-bayi yang serupa nasib pun pernah tidak dipedulikan sesiapa. Ibu yang telah diamanahkan pun tidak terdaya mempertahankan status kalian sebagai anak yang tidak berdosa.

Mak Pinak, seorang wanita gigih membanting tulang saban hari membesarkan tujuh cahaya mata kini melalui fasa keuzuran dengan diabai anak-anaknya. Sakit tuanya melarat sehingga menyebabkan mentalnya terganggu dan dianggap nyanyuk. Mak Pinak sering merayau-rayau sepanjang jambatan dengan harapan dapat melihat kereta anaknya memasuki persimpangan jambatan.

Menjelang petang, dia akan bergegas pulang ke kediamannya di kawasan setinggan untuk menyediakan lauk kegemaran anak-anaknya pula. Atas rasa rindu teramat, Mak Pinak tidak pernah mempedulikan omongan orang lain yang menganggap perbuatannya hanya membazir makanan dan kudrat tuanya.

Ketika hati kau mula terdetik untuk memujuk Mak Pinak ke rumahmu kerana bimbang akan keselamatannya, mata tuanya hanya memandang kosong ke persimpangan jambatan. Wajah Mak Pinak tidak mempamerkan riak kecewa sebaliknya hanya mengatakan bahawa kasih seorang ibu tetap akan membawa anaknya pulang suatu hari nanti.

Manakala engkau, telah merasakan pengorbanan Mak Pinak pada anak-anaknya mula menyedarkan engkau tentang semua perasaan yang tiada selama ini.

Pada hari ulang tahun engkau, Chiong membeli kek lalu mencadangkan engkau membawanya ke kediaman Mak Pinak. Petang itu, dari luar rumahnya, gulai rempah kari dan sambal belacan memanjat rongga hidung sebelum kau mengetuk pintu rumah Mak Pinak perlahan-lahan.


Pengarang :