EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memeriksa sisa industri di sebuah gudang dekat Batang Kali pada 30 September 2021. Foto Facebook Ng Sze Han
AGENSISELANGOR

JAS siasat gudang simpan sisa industri, ambil sampel untuk analisis

SHAH ALAM, 6 OKT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengambil lima sampel sisa industri sebuah gudang di Batang Kali yang diserbu pada 30 September lalu.

Pengarahnya Nor Aziah Jaafar berkata sampel itu dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk menentukan secara terperinci jenis bahan yang dibuang.

“Kita hantar sampel untuk dianalisis untuk mengesahkan sama ada sisa industri itu adalah sisa berjadual yang dikawal oleh JAS atau sebaliknya.

“Keputusan akan diperoleh dalam tempoh dua ke tiga minggu dari tarikh dihantar pada 1 Oktober,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan sekiranya disahkan sisa berjadual yang ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, tindakan penguatkuasaan dikenakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Baru-baru ini, sebuah gudang yang menjalankan aktiviti pembuangan sisa industri tanpa kebenaran dekat Batang Kali diserbu Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pemeriksaan bersama Pejabat Tanah Selangor turut mendapati sisa berjadual juga tidak diurus mengikut piawaian yang ditetapkan.


Pengarang :