AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Jawatankuasa khas lantik pakar patologi kanan bantu siasatan kematian Adib

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Jawatankuasa Khas yang ditugaskan untuk menyiasat secara teliti kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim telah memutuskan untuk melantik pakar patologi kanan bagi membantu siasatan kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pakar patologi akan melakukan siasatan menyeluruh untuk menyiasat keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Koroner, hasil siasatan polis dan aspek lain mengenai punca kematian anggota bomba itu.

“Pakar patologi telah diberi tempoh akhir yang telah ditetapkan untuk menyelesaikan siasatan dan membuat laporan terperinci mengenai hasil penemuan mereka. Kerajaan serius untuk menyelesaikan kes ini, yang telah ditangguhkan sejak 2018.

“Jawatankuasa khas ini dijadual bermeyuarat dalam tempoh sebulan lagi setelah menerima laporan daripada jawatankuasa kecil pakar patologi kanan,” katanya.

Wan Junaidi berkata beliau dan anggota jawatankuasa khas iaitu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani telah mengadakan mesyuarat pertama semalam di Bukit Aman untuk membincangkan berkaitan kes tersebut.

Dalam mesyuarat itu, anggota jawatankuasa khas tersebut turut membincangkan secara terperinci fakta dan kronologi berkaitan kematian Muhammad Adib, katanya.

“Semestinya, kes ini tidak mudah untuk diuruskan dan memerlukan pelbagai peringkat siasatan. Sebab itulah kami memutuskan untuk melantik pakar patologi kanan untuk membantu kami dalam siasatan kes ini,” kata Wan Junaidi sambil menambah bahawa tindakan selanjutnya akan dilakukan setelah menerima laporan tersebut.

Sabtu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Kabinet memutuskan untuk mewujudkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi menyiasat kes kematian Muhammad Adib selain bersetuju menubuhkan dua pasukan petugas khas untuk meneliti dakwaan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’, serta membuat semakan semula dan pentafsiran kes untuk mengkaji semula pilihan undang-undang Malaysia berhubung dengan Pulau Batu Puteh.

Muhammad Adib cedera parah semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada 27 Novomber 2018 dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018, selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.

Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul hingga cedera parah malah jentera bomba turut dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019. Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih daripada dua individu tidak dikenali.

– BERNAMA


Pengarang :