Keratan paparan video sempena pengisytiharan Majlis Perbandaran Hulu Selangor secara maya pada 21 Oktober 2021
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jenamakan semula kawasan industri pikat pelabur ke Hulu Selangor

SHAH ALAM, 21 OKT: Pembangunan Taman Perindustrian Bernilai Tinggi Serendah di Hulu Selangor mampu meningkatkan keyakinan pelabur ke negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Penjenamaan semula kawasan industri yang dijangka siap pada 2022 menggabungkan ekosistem moden dan alam semula jadi melalui rangkaian hijau yang luas, jelas Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Usaha menambah baik dan menaik taraf kawasan perindustrian ini sekali gus memberi semangat inovasi kepada pelabur tempatan mahupun antarabangsa,” katanya menambah ia dilengkapi kemudahan mampan untuk mewujudkan tempat kerja positif.

Beliau bercakap sempena Majlis Menjunjung Titah Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi pengisytiharan Majlis Daerah Hulu Selangor sebagai perbandaran hari ini.

Amirudin menambah Rancangan Struktur Selangor 2035 mencadangkan dua kluster kawasan perindustrian di daerah terbabit yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi negeri.

Kluster meliputi industri automotif dan sokongan di Serendah-Sungai Choh-Bukit Beruntung dan industri terpilih di Lembah Beringin-Bernam Jaya, jelasnya.

“Pembangunan kluster industri automotif ini bakal menjadi kluster utama pembangunan perindustrian sekali gus merealisasikan hab pembuatan pengangkutan negara.

“Kluster industri sedia ada ini merupakan penyumbang terbesar iaitu 60.5 peratus daripada jumlah pelaburan bagi sektor perindustrian di Hulu Selangor,” katanya.


Pengarang :