Imam Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling Ustaz Khairy Abdullah mengimamkan solat jenazah bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Allahyarham Datuk Zolkples Embong, 62, di masjid tersebut pad 3 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jenazah Zolkples Embong selamat dikebumi

DUNGUN, 3 OKT: Jenazah bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah di Kuala Lumpur pagi tadi, selamat dikebumikan malam ini.

Allahyarham Zolkples, 62, yang menjawat jawatan Ketua Pengarah MSN sejak 2007 hingga 2014 itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di sini pada pukul 10.40 malam.

Selain ahli keluarga, turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Zolkples telah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Seri Petaling, di Kuala Lumpur sebelum jenazah dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Gong Pasir di sini.

Selain Ketua Pengarah MSN, Zolkples pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010 yang menyaksikan Malaysia merangkul sembilan pingat emas sekali gus merupakan pencapaian terbaik kontinjen negara sepanjang penyertaan pada temasya sukan berkenaan.

Berikutan kejayaan itu, Allahyarham sekali lagi diberikan kepercayaan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik London 2012.

Zolkples juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017.

— BERNAMA

 


Pengarang :