Selangorkini
Beregu wanita Anna Cheong (kiri) dan Teoh Mei Xing mempamerkan aksi cemerlang dalam Terbuka Czech selepas menundukkan Indonesia di Vodova Hall, Brno pada 24 Oktober 2021. Foto Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDA SUKANKINI

Juarai Terbuka Czech, Mei Xing yakin serasi dengan Anna

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Beregu wanita yang pertama kalinya digandingkan pada kejohanan badminton Terbuka Republik Czech Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing, pada mulanya tidak meletakkan sasaran pada kejohanan itu.

Kedua pemain negara itu tidak menyangka mempunyai keserasian yang baik hingga mampu meraih kejuaraan sulung pada penampilan pertama gandingan mereka di kejohanan siri antarabangsa.

“Kami bermain sedaya kami dan gandingan kami serasi. Saya gembira dengan kemenangan ini,” kata Mei Xing menerusi rakaman video daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Pasangan negara mengecewakan gandingan dari Indonesia Febby Valencia Dwijayanti Gani-Jesita Putri Miantoro 21-15, 16-21, 21-17 pada aksi final di Vodova Hall, Brno pada Ahad.

Mei Xing, 24, bergandingan dengan Yap Ling ketika saingan Piala Uber, manakala Anna, 23, pula berpasangan dengan Yap Cheng Wen ketika muncul juara Terbuka Austria 2021.

“Saya akan bergandingan dengan Anna hingga Disember, dan terserah kepada barisan kejurulatihan untuk membuat keputusan mengenainya (pasangan), saya akan ikut dan hormatinya,” katanya.

Anna-Mei Xing, yang mendapat bye pada pusingan pertama kejohangan Antarabangsa Belgium di Leuven esok, dijadual berdepan sama ada pasangan Indonesia Febby-Jesita atau gandingan Jepun Chisato Hoshi-Aoi Matsuda di pusingan kedua.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara Siti Nurshuhaini Azman yang muncul naib juara Terbuka Republik Czech selepas tewas kepada Putri Kusuma Wardani dari Indonesia 16-21, 5-21, mahu menjadikan kejayaannya tempoh hari sebagai landasan ke arah kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan.

“Alhamdulillah, rezeki kali ini saya dapat naib juara di Terbuka Republik Czech, saya rasa pada mulanya saya boleh, tetapi apabila masuk perlawanan kedua, saya hilang sedikit fokus dan tidak dapat ikut permainan lawan.

“Jurulatih (Indra Widjaja) ada pesan untuk lebih bekerja keras dan cuba menambah baik kekurangan saya untuk kejohanan seterusnya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :