(Gambar hiasan). Foto Facebook KKM
AGENDANASIONAL

Kajian: Satu daripada empat rakyat dijangka alami strok menjelang 2040

PUTRAJAYA, 29 OKT: Hasil kaji selidik Global Burden of Disease Stroke Statistics Worldwide pada 2016 menganggarkan seorang daripada empat penduduk Malaysia akan mengalami strok menjelang 2040 sekiranya tiada tindakan pencegahan diambil sejak awal.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi menghindari perkara tersebut, rakyat negara ini perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak merokok atau mengambil tembakau dalam apa jua cara, mengamalkan pemakanan yang sihat, melakukan aktiviti fizikal dan mengelak pengambilan alkohol.

Selain itu katanya, semua pihak perlu memainkan peranan membantu pesakit dan penjaga pesakit selain melaksanakan langkah pencegahan serta kawalan bagi memastikan prevalen dan komplikasi penyakit strok di negara ini dapat diturunkan.

“KKM (Kementerian Kesihatan) menyeru semua pihak terutamanya petugas kesihatan agar bersama-sama menggembleng tenaga memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berpaksikan pesakit.

“Ini dapat membantu pesakit dan penjaga dalam menangani isu berkait penyakit strok seterusnya mengurangkan prevalen dan komplikasinya akan tercapai,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Strok Sedunia 2021 hari ini.

Berkongsi laporan daripada kajian Monitoring Stroke Burden in Malaysia yang dijalankan pada 2017, beliau berkata kajian itu menganggarkan sebanyak 150 dalam 100,000 penduduk Malaysia mengalami penyakit strok dengan purata kemasukan harian ke hospital sebanyak 92 kes.

Katanya, kajian itu turut melaporkan sebanyak 40 peratus daripada pesakit strok adalah daripada individu yang berusia 60 tahun ke bawah.

“Malaysia juga mencatatkan hampir 32 kematian setiap hari akibat strok dan pesakit strok dibebani dengan pelbagai morbiditi dengan tujuh daripada 10 pesakit strok bergantung kepada orang lain bagi meneruskan kehidupan,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, walaupun kualiti perkhidmatan strok akut di negara ini menunjukkan peningkatan namun masih terdapat individu yang mengalami ketidakupayaan selepas menghidap penyakit strok.

Katanya, ketidakupayaan itu adalah komplek dan melibatkan pelbagai aspek termasuk fizikal, kognitif, sosial dan emosi.

“Ini meningkatkan beban penyakit dan mewujudkan keperluan yang tinggi untuk perkhidmatan rehabilitasi strok yang efektif bagi mengurangkan komplikasi awal serta meningkatkan tahap kefungsian seseorang individu yang mengalami strok,” kata Dr Noor Hisham.

Menyentuh mengenai komitmen kerajaan, beliau berkata KKM telah mewujudkan Kerangka Strategik Program Perubatan 2021-2025 pada Mei tahun lepas dengan menggariskan tujuh strategi utama khususnya bagi memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan di hospital.

-BERNAMA


Pengarang :