Majlis Menandatangani MoU antara Majlis Bandaraya Shah Alam dan Nestle Products Sdn Bhd Bersama KPT Recycle Sdn Bhd yang disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam Dato Zamani Ahmad Mansor bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Juan Aranols dan Pengarah KPT Recycle Sdn Bhd Lee Chay Chen, disaksikan EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail di Wisma MBSA pada 26 Oktober 2021. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KDEBWM disaran cari kaedah terbaik kitar semula barang terbuang

SHAH ALAM, 26 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) perlu mencari kaedah terbaik bagi mengitar semula barangan terbuang, kata EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar.

Rodziah Ismail berkata penggunaan semula barang terpakai dapat mengurangkan jumlah sampah di tapak pelupusan.

“Kita menggalakkan KDEBWM untuk memikirkan di mana lokasi sesuai bagi pembuangan sampah yang boleh dikitar semula supaya pengakhirannya bukan hanya di tapak pelupusan.

“Perkara ini akan menguntungkan semua pihak kerana kita melihat kebanyakan tapak pelupusan sampah juga telah penuh…penting untuk menjadikan barangan terpakai sesuatu yang bernilai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MBSA dan Nestlé Products Sdn Bhd bersama KPT Recycle Sdn Bhd di Wisma MBSA hari ini.

MoU itu menggalakkan aktiviti kitar semula di kawasan kediaman bertingkat terpilih melibatkan 540 isi rumah di Seksyen 18 dan 24 di sini.

Rodziah turut memuji inisiatif MBSA dan Nestlé yang disifatkan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar sekali gus menjadikan Bandar Raya Shah Alam Sifar Sampah menjelang 2030.

“Saya berharap usaha ini diperluaskan ke lokasi lain dan penduduk dapat mendisiplinkan diri melakukan pengasingan sampah mengikut kategori,” katanya.


Pengarang :