Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management Mohd Idris Mohamed Yusof (dua,kanan) menyerahkan sebanyak 125 unit tong sampah jenis MGB 120L kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu Ampang Daing Muhamad Najib (dua,kiri) pada 12 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM serah 125 unit tong sampah, buang sisa secara teratur

AMPANG, 12 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyumbang 125 tong sampah jenis MGB120L untuk kegunaan penduduk Kampung Melayu Ampang di sini, hari ini.

Tong sampah itu ditempatkan di Lorong Merbau, Lorong Seraya, Lorong Jati dan Lorong Pinang manakala sebuah tong sampah kitar semula diletak di Pusat Khidmat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 7.

Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management Mohd Idris Mohamed Yusof

Pengurus Besar Operasi KDEBWM Mohd Idris Mohamed Yusof berkata serahan itu bagi memudahkan penduduk dan kontraktor pembersihan memproses pembuangan sampah domestik lebih teratur.

“Kita difahamkan sebelum ini rata-rata penduduk di sini membuang sampah dalam pelbagai medium seperti tangki air, beg dan kebuk simen.

“Dengan serahan tong baharu ini kita percaya ia akan lebih teratur, seragam dan bersih. Saya berharap penduduk menggunakan tong ini sebaiknya dan tidak melakukan vandalisme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan tong tersebut di Dewan MPKK Kampung Melayu Ampang di sini hari ini.

Sumbangan itu diserahkan kepada Ketua Kampung Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu Ampang Daing Muhammad Najib Bachok.

Sementara itu Mohd Idris berkata, KDEBWM selaku syarikat yang mengendali pengurusan sisa pepejal di Selangor menitikberatkan masalah dihadapi penduduk dan bersedia membantu jika ada keperluan.

Daing Muhamad Najib

Manakala, Daing Muhammad Najib berterima kasih kepada pihak KDEBWM dan berharap penduduk di kampung itu tidak menyalahgunakan manfaat itu.

“Penduduk perlu gunakan kemudahan ini sebaiknya dengan tidak buang sampah di luar tong. Pemberian ini juga membuatkan pemandangan di kampung lebih cantik dan seragam.

“Kita juga berharap KDEBWM menyumbang lebih banyak tong pada masa depan termasuk meletakkan di depan kedai-kedai,” katanya.


Pengarang :