Selangorkini
Exco Kerajaan Negeri, Izham Hashim meninjau projek tanaman cili fertigasi ketika Lawatan Kerja di Lennex Technologies, Hulu Langat pada 7 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Negeri belanja RM3.4 juta bantu penternak, petani

BANDAR BARU BANGI, 8 OKT: Sejumlah RM3.4 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 bagi membantu penternak dan petani terkesan pandemik Covid-19.

EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata ia termasuk inisiatif Agro Prihatin Selangor yang dilaksana bagi membeli lambakan hasil tani.

“Setakat ini tidak lagi dengar lambakan hasil tani dan semuanya sudah stabil dan boleh memfokuskan kerja pembangunan untuk meningkatkan hasil,” katanya selepas melawat Kebun Komuniti Seksyen 8 Prima di sini semalam.

Terdahulu Izham diiringi Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad dan Ahli Dewan Negeri Sg Ramal Mazwan Johar menyampaikan baucar makanan akuakultur di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 kepada 39 penternak ikan di daerah Hulu Langat.

Menurut Izham baucar makanan itu diberikan untuk membantu mengurangkan beban berikutan kenaikan harga ternakan sekaligus dapat meneruskan usaha penternakan.

“Bagi penternak ikan mereka menerima bantuan makanan ikan, baja tanaman, nelayan mendapat subsidi petrol manakala penternak lembu diberi bantuan makanan ruminan,”katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor memperuntuk lebih RM13 juta bagi membantu petani dan penternak yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 merangkumi RM10 juta untuk program jaminan bekalan makanan, Program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).


Pengarang :