Warga kerja Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) Selangor melafazkan ikrar bebas rasuah dalam suatu majlis berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 25 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Kerajaan Negeri miliki garis panduan, elak terlibat rasuah

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan Negeri mempunyai garis panduan dalam memastikan individu berjawatan tidak terlibat dengan kegiatan rasuah.

Dato’ Menteri Besar berkata setiap kedudukan dan kuasa diikuti dengan risiko yang memberi impak kepada kelebihan seperti penganugerahan kontrak dan kelulusan projek.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, terdapat garis yang sangat halus antara pemberian rasuah dan hadiah terutama melibatkan hari tertentu seperti hari lahir, perjawatan dan kadang-kadang alasan yang mengelirukan.

“Kita kena sedar posisi mana sekalipun apabila berkuasa mesti ada tekanan menggunakannya untuk kelebihan peribadi. Walau namanya hadiah ia boleh dianggap dorongan untuk melepaskan atau memberi peluang kepada individu berkepentingan.

“Sebab itu di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kita ada polisi hadiah ditawarkan atau nilai diterima kena diisytihar dan telah lama ada. Saya percaya peraturan hadiah memang kita ikut dan akan dapat tangani atas nama kebertanggungjawaban,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Wacana Betul Ke Selangor Lubuk Rasuah semalam.

Amirudin menjelaskan, di Selangor juga sejak 2008 telah mula mengenakan sekatan tertentu kepada pimpinan politik.

“Bukan itu sahaja dalam pemberian kontrak di PBT yang ahli majlis sebahagiannya ahli politik tidak dibenarkan berada dalam mesyuarat kerana kita tidak mahu mereka terlalu berkuasa untuk menentukan sesuatu.

“Dalam jawatankuasa tanah juga tidak diletakkan ahli dewan negeri atau parlimen kerana akan wujud konflik antara Yang Dipertua kerana peluang besar dalam menentukan semuanya,” katanya.


Pengarang :