Selangorkini
Pelajar hadir ke sekolah pada sesi persekolahan secara bersemuka mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Labuan pada 18 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Kerani, pekerja am sekolah perlu buat saringan Covid-19

SHAH ALAM, 20 OKT: Staf khidmat sokongan termasuk kerani dan pekerja am perlu membuat saringan kendiri Covid-19 secara berkala sepanjang sesi persekolahan bersemuka.

Langkah itu bagi mengawal penularan wabak dalam kalangan kakitangan selain melindungi pelajar dan warga sekolah, kata timbalan menteri pendidikan II seperti dilapor Berita Harian.

“Kita akan memastikan pekerja khidmat sokongan termasuk kerani supaya melengkapkan vaksinasi dan melakukan secara berkala ujian kendiri demi keselamatan anak-anak di sekolah,” kata Datuk Mohamad Alamin di Dewan Negara hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini membenarkan pembukaan sekolah bagi murid tahap satu di negeri fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

KPM turut membekalkan kit ujian kendiri kepada sekolah berasrama dan sekolah harian bagi pengoperasian secara berperingkat mengikut fasa dalam PPN.

Sementara itu, Mohamad berkata Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan pekeliling mengarahkan penjawat awam termasuk guru mengambil vaksin pada 30 September.

“Dalam arahan itu cukup jelas, mereka kena taat dan ikut,” katanya lagi.


Pengarang :