Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerja selenggara loji pastikan bekalan air masa depan lancar

SHAH ALAM, 9 OKT: Risiko bekalan air dapat dikurangkan selepas kerja penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 minggu hadapan.

Ketua pegawai eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata proses bermula 13 hingga 16 Oktober itu juga sebagai langkah menjaga aset dalam memastikan bekalan air sentiasa lancar.

“Pelaksanaan ini tertangguh daripada jadual asal yang sepatutnya berjalan pada 2019 dan 2020.

“Proses naik taraf sistem bekalan air ini demi memastikan keselesaan pengguna pada masa hadapan,” kata Suhaimi Kamaralzaman.

Pada Khamis, Dato’ Menteri Besar memaklumkan penyelenggaraan itu perlu bagi melancarkan proses penyaluran bekalan air kepada pengguna pada masa depan selain mengelakkan berlaku kerosakan di loji rawatan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu antara tiga faktor yang menjejaskan perkhidmatan kepada pengguna selain bekalan air mentah tidak cukup dan insiden luar kawalan termasuk pencemaran dan paip pecah akibat perbuatan pihak ketiga.

Sepanjang 13 hingga 16 Oktober, kerja penyelenggaraan melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sehubungan itu Air Selangor meminta penduduk menyimpan bekalan air secukupnya.

Sebanyak 105 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.

 


Pengarang :