AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kerja selenggara perlu dilaksana Air Selangor, elak insiden berulang

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal dilaksanakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi mengelak insiden pencemaran atau kebocoran berulang.

Dato’ Menteri Besar menerusi infografik di Facebooknya memaklumkan jika tidak diselenggara boleh menyebabkan kerosakan dan ketiadaan air secara mengejut pada masa akan datang.

Justeru, Dato’ Seri Amirudin Shari menasihatkan pengguna menyimpan bekalan air secukupnya dan merujuk laman hentitugas.airselangor.com untuk maklumat lanjut.

“Air Selangor akan melaksanakan kerja penyelenggaraan yang tertangguh sejak 2019. Kerja ini penting bagi mengelakkan kejadian yang tak diingini seperti kebocoran paip SSP 1 pada tahun lalu,” katanya.

Menerusi infografik, kerja penyelenggaraan itu akan dilaksana mulai jam 9 pagi pada 13 Oktober dan bekalan dijangka pulih secara berperingkat jam 5 petang 14 Oktober.

Sebanyak 998 kawasan terlibat meliputi kawasan sekitar Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langar dan Kuala Selangor.

Sepanjang kerja itu berjalan Air Selangor akan menggerakkan 105 lori tangki ke kawasan terjejas terutama hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Agensi juga akan menyediakan 18 pili awam bagi memudahkan pelanggan mendapat bekalan air bersih sementara proses pemulihan berlaku.

Empat stesen pengisian air setempat turut dibuka kepada pelanggan komersial yang mahu membeli air menggunakan lori tangki termasuk bantuan dari pejabat ahli dewan negeri, ahli majlis, sukarelawan Team Selangor turut disediakan.


Pengarang :