Hari Kesihatan Mental Sedunia adalah insiatif Kesatuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH) yang disambut setiap tahun pada 10 Oktober. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kesan kesihatan mental, panik hingga lupa lokasi pejabat

SHAH ALAM, 13 OKT: Gelisah dan panik sehingga lupa lokasi pejabat antara kes kesihatan mental diterima Pusat Kaunseling Selangor Talian Sahabat ketika pandemik Covid-19.

Penyelarasnya Rinatho Nunchi menerima kes seorang individu terlalu resah hingga ‘tidak nampak’ pejabat meskipun sebenarnya sudah berada di sekitar premis terbabit.

“Bila saya buat ujian didapati pekerja terbabit sebenarnya mengalami kegelisahan yang tinggi dan belum cuba mendapat rawatan pakar.

“Dia pun tidak tahu kegelisahan itu boleh menyebabkannya tidak nampak pejabat sedangkan sudah berada di parkir, saya beri penjelasan dia dilanda panik sebenarnya,” katanya.

Rinatho berkata demikian dalam program bual bicara Kesihatan Mental: Hapus stigma, bantu segera disiarkan di Facebook Media Selangor malam tadi.

Beliau berkata ramai individu tersalah tafsir masalah kesihatan mental dihadapi menyebabkan mereka tidak mendapat rawatan di pusat yang betul.

Menurutnya, ramai mengaitkan perubahan tingkah laku dengan gangguan makhluk halus namun sebenarnya berpunca daripada faktor lain seperti hilang pekerjaan.

“Sebab itu kena tahu masalah sebenarnya supaya boleh mendapatkan rawatan mental di pusat kaunseling disediakan kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

 


Pengarang :