AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Khidmat tukar minyak hitam motosikal di Bukit Malawati esok

SHAH ALAM, 22 OKT: Seramai 200 penunggang motosikal sekitar Bukit Melawati dijangka menerima manfaat sempena program Let’s Ride and Help (LetsGO) yang berlangsung selama dua hari bermula esok.

Sekretariat Team Selangor berkata program anjuran bersama Boon Siew Honda Sdn Bhd itu menawarkan khidmat penukaran minyak pelincir, palam pencucuh, gegancu dan bateri motosikal.

“Perkhidmatan percuma dikhususkan untuk 100 penunggang motosikal jenis Honda manakala selebihnya jenama lain dengan tumpuan golongan berpendapatan rendah (B40) selain penghantar makanan serta barangan.

“Kita berharap usaha ini dapat membantu mengurangkan beban penunggang yang bergantung harap kepada motosikal sebagai mata pencarian utama khususnya dalam bidang p-panggilan,” menurut pasukan sukarelawan itu dalam kenyataan.

LetsGO akan dilancarkan wakil rakyatnya merangkap setiausaha politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli di Dataran Malawati, Kuala Selangor pada Ahad.

Pada program sama, Team Selangor akan mengedarkan sebanyak 600 bakul makanan kepada keluarga memerlukan sekitar Bukit Melawati, Ijok, Jeram, Permatang, Sekinchan dan Sungai Panjang.

Dijayakan dengan kekuatan 100 sukarelawan, LetsGO menyediakan aktiviti menarik lain antaranya senamrobik Zumba oleh Zin Sally, cabutan bertuah, pertandingan karaoke, pertunjukan bola sepak bebas oleh Zeem Ahmad dan kelas masakan tradisional Melayu.


Pengarang :