Selangorkini
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Elya Marini Darmin semasa menjalankan operasi di kilang perabot di Jalan Korporat Taman Perindustrian Meru, Klang pada 21 Oktober 2021. Foto SITI ROHAIZAH/SELANGORKINI
PBT SELANGOR

Kilang perabot di Klang diarah mohon sijil layak duduki bangunan

KLANG, 22 OKT: Sebuah kilang perabot di Jalan Korporat Taman Perindustrian Meru di sini diminta segera mendapatkan Sijil Perakuan Kelayakan Menduduki Bangunan (CCC) untuk pekerjanya.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Elya Marini Darmin berkata pemilik ada membuat permohonan tetapi ditolak kerana gagal mematuhi syarat teknikal.

“Antara syarat teknikal gagal dipatuhi ialah kemudahan katil, elektrik, kapasiti ruang pekerja, tandas, air dan dapur. Ini adalah syarat utama yang perlu dipatuhi semua majikan.

“Bagaimanapun untuk hari ini (semalam) kita tidak mengenakan kompaun kerana majikan mempunyai inisiatif memohon CCC dan mempunyai peluang untuk perbaiki,” katanya pada operasi di kilang perabot tersebut semalam.

Sementara itu Elya Marini berkata pihaknya memberi tempoh enam bulan kepada pemilik kilang untuk mendapatkan sijil tersebut.

“Permohonan CCC mestilah mengikut garis panduan ditetapkan dan tujuan kita mengadakan operasi adalah untuk memberi khidmat nasihat.

“Kita mahu kilang-kilang ini menjadikan asrama pekerja atau penginapan yang selesa diduduki,” katanya.


Pengarang :