gambar hiasan
AGENDANASIONAL

KKM terima 223,990 panggilan minta kaunseling, sokongan emosi

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Sebanyak 223,990 panggilan diterima menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial sehingga 19 Sept lepas, dengan 80.8 peratus pemanggil memerlukan sokongan emosi dan kaunseling, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata panggilan itu meliputi isu berkaitan kehilangan pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga dan masalah hubungan interpersonal.

“Selain itu, isu lain termasuk stigma jangkitan, isolasi serta kurang akses perkhidmatan bantuan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu usaha kerajaan bagi menangani isu kesihatan mental rakyat yang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Dr Noor Azmi berkata Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan itu adalah antara inisiatif kerajaan sebagai penambahbaikan terhadap pengurusan kesihatan mental sedia ada.

“Selain itu, penambahan sejumlah 200 pegawai psikologi kaunseling pada Oktober tahun lepas secara kontrak di peringkat daerah dan Klinik Kesihatan bagi memberikan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial di 1,191 Klinik Kesihatan seluruh negara.

“KKM juga mengukuhkan program promosi dan pencegahan kesihatan mental di peringkat primer termasuk perkhidmatan saringan, intervensi dan rawatan kesihatan mental bagi meningkatkan pengesanan awal individu yang alami masalah ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :