Persembahan bertemakan Keluarga Malaysia oleh artis budaya pada sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 16 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Komen unsur perkauman tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia

SHAH ALAM, 5 OKT: Komen berunsur perkauman terhadap pemain badminton negara, S Kisona tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama.

Menteri Perpaduan Datuk Seri Halimah Sadique berkata sukan  sudah lama menjadi tapak integrasi perpaduan yang menyatukan rakyat Malaysia.

“Rakyat negara ini terutama pengguna media sosial diingatkan supaya tidak menggunakan perkataan yang mampu menghiris perasaan mana-mana kaum atau bangsa demi menjaga keharmonian negara.

“Elakkan guna kata-kata yang menghiris hati dan perasaan kaum lain demi perpaduan dan keharmonian keluarga Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin berhubung kenyataan seorang ahli politik yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap Kisona .

Sementara itu Kee Chin berkata atlet itu merupakan penduduk parlimennya yang seharusnya dihargai selepas berusaha mengharumkan nama negara.

“Pengorbanannya cukup besar malah dua kali dijangkiti Covid-19 ketika membawa nama negara. Jadi penghargaan harus diberikan sebab semangat dia. Dia wirawati negara,” katanya.

Kelmarian kenyataan berbaur perkauman dimuat naik pemilik akaun Facebook menggunakan nama Borhan Che Rahim, dipercayai terhadap Kisona selepas pemain perseorangan wanita negara itu tewas kepada pemain Jepun pada aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland.

Hantaran berkenaan menerima kecaman pelbagai pihak termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan berkenaan.


Pengarang :