Air Selangor menggiatkan usaha menghantar bantuan bekalan air kepada premis kritikal yang terjejas berikutan penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 mulai 13 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kuala Selangor kawasan terawal terima bekalan air

OLEH MUSTAKIM RAMLI dan NORRASYIDAH ARSHAD

SHAH ALAM, 14 OKT: Kuala Selangor merupakan wilayah terawal yang menerima bekalan air secara berperingkat mulai petang ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Klang pula menjadi lokasi terakhir menerima bekalan air selepas penyelengaraan aset kritikal di loji rawatan air Sungai Selangor 1 siap awal pagi tadi.

“Beberapa tempat mula menerima air mulai jam 4 petang hari ini dengan jangkaan 40 peratus dan esok mungkin banyak tempat lagi hingga 60 peratus,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau bercakap selepas melancarkan program Pembangunan Usahawan@Shah Alam di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam di sini hari ini.

Amirudin berkata kerja naik taraf aset perlu dibuat selepas 27 tahun susulan beberapa insiden kebocoran pada 2016 dan 2020 akibat tindak balas bahan kimia dalam rawatan air.

Sementara itu, laman web hentitugas.airselangor.com menunjukkan bekalan air di 10 kawasan sekitar Kuala Selangor pulih antara 50 hingga 75 peratus.

Lokasi itu merangkumi Tanjong Keramat, Taman Yayasan, Taman Assam Jawa, Taman Murni dan Jalan Kilang Padi atau Jalan Lengkongan dan Taman Seri Penambang.

Selain itu, Ijok Batu 4, Ijok Batu 7, Bukit Melawati dan Taman Alam. Bekalan air di Hospital Sungai Buloh di wilayah Petaling juga pulih 50 peratus.

Penyenggaraan aset kritikal sejak semalam melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Dalam tempoh itu, sebanyak 105 lori tangki air digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna.


Pengarang :