Latihan juruterapi dan perbidanan antara inisiatif Kumpulan Perangsang Selangor menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat dan memerlukan pekerjaan, terutama golongan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Foto ihsan Kumpulan Perangsang Selangor
AGENDANASIONAL

Kumpulan Perangsang Selangor lahirkan juruterapi, bidan profesional

(ADVERTORIAL)

Ibu bersalin adalah kumpulan masyarakat yang cukup terkesan akibat penularan wabak Covid-19. Selain emosi terganggu kerana tiada ahli keluarga dibenarkan menemani di hospital, kebanyakan mereka turut terjejas kerana masalah kewangan.

Umum mengetahui, banyak perbelanjaan diperlukan untuk menyediakan perkakas menyambut bayi. Namun ramai suami dan ibu bersalin gagal mengadakan persediaan ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jabatan Statistik Negara menunjukkan sebanyak 111,573 kelahiran dilaporkan pada suku tahun kedua 2021. Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan bilangan kelahiran tertinggi iaitu 20,389 kelahiran (18.3 peratus). Ini bermakna, terdapat permintaan tinggi untuk penjagaan serta rawatan ibu bersalin terutamanya di bandar dan sesetengah tempat di Selangor.

PKP juga menimbulkan kesukaran bentuk lain kepada ibu yang baru melahirkan bayi. Kekangan pergerakan menghalang perjalanan rentas negeri, yang mana ia menyukarkan ahli keluarga datang membantu serta merawat ahli keluarga mereka yang baru mendapat cahaya mata.

Keadaan luar jangka seperti ini menyukarkan golongan ibu bersalin, khususnya mereka yang berkerjaya dan tinggal jauh daripada saudara mara.

Peluang latihan pekerjaan

Situasi berkenaan menyebabkan permintaan terhadap bidan atau juruterapi terlatih berkemahiran tinggi meningkat di bandar dan kawasan sekitar. Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menyedarinya dan prihatin dengan perkembangan berkenaan.

Kumpulan Perangsang Selangor melatih golongan terkesan Covid-19 menjalani kursus perbidanan secara profesional bagi menjana pendapatan. Foto ihsan Kumpulan Perangsang Selangor

 

Sehubungan itu, KPS menerusi program Pembangunan Keusahawanan, mengambil inisiatif menaja latihan juruterapi dan bidan. Inisiatif ini secara tidak langsung menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat dan memerlukan pekerjaan, terutamanya golongan B40 dan M40 yang terjejas mutakhir ini.

Jabatan Statistik Negara memberitahu bahawa kadar pengangguran di Malaysia meningkat daripada 3.3 peratus (524.8 ribu) pada awal 2019 kepada 4.8 peratus (768.7 ribu) pada Jun 2021 akibat pandemik.

Justeru, langkah KPS yang diambil melalui program ini berupaya membantu golongan rentan dengan menyediakan kemahiran serta latihan diperlukan untuk berjaya dalam bidang rawatan selepas bersalin.

Kursus BLUMS

Kursus latihan juruterapi bandar ini dikenali sebagai program Bimbingan dan Latihan Usahawan Mobile Spa atau singkatannya BLUMS.

Ia merupakan program yang memberi pengkhususan kepada penjagaan dan rawatan selepas bersalin.

Keterlibatan KPS dalam menaja program ini adalah bersesuaian dengan masa dan keperluan kerana adanya permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan khas ini.

Program ini melahirkan juruterapi atau bidan berkemahiran tinggi yang diiktiraf dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), seiring dengan visi kerajaan yang ingin meningkatkan lebih ramai tenaga kerja terlatih.

Peserta juruterapi atau bidan bandar terlatih ini dipilih dalam kalangan ibu tunggal, belia serta suri rumah yang ingin menambahkan pendapatan ekonomi keluarga dan beraspirasi untuk keluar daripada kesempitan hidup.

Program ini berupaya meredakan tekanan permasalahan sosio-ekonomi dalam kalangan golongan rentan.

Impak program

Sejak dimulakan pada 2015, program ini berjaya membantu peserta BLUMS menjana pendapatan sekurang-kurangnya dari RM1,000 hingga RM3,500 sebulan. Tahun ini, BLUMS telah melatih seramai 119 peserta.

Program latihan BLUMS menawarkan prospek besar kepada pesertanya. Peserta diberi peluang menjalani latihan tambahan anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran. Latihan dan program pensijilan tambahan ini akan dapat memberi mereka peluang untuk memulakan perniagaan sendiri.

Sebahagian alat dan ubat-ubatan yang digunakan bagi merawat ibu bersalin

Inisiatif seperti ini akan memberi impak besar dalam membantu mereka yang terjejas untuk berdikari serta dapat menampung kehidupan dengan stabil. Pada masa sama, ia dapat memulihkan ekonomi dan membantu perkembangan sosial masyarakat setempat.

Negara masih berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara yang membataskan peluang peserta program BLUMS terlatih untuk memanfaatkan latihan yang dijalani serta menjana pendapatan yang optimum.

Bagaimanapun, KPS yakin terhadap keberkesanan program ini. Ia bakal membantu memperbaiki masa depan peserta terutamanya apabila ekonomi negara tidak lagi dibayangi oleh pandemik Covid-19 dan kekangan pergerakan akibat PKP.

KPS yakin peluang yang lebih luas untuk menjana pendapatan akan lebih terbuka buat peserta program BLUMS.


Pengarang :