EXCO Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim, menyerahkan peralatan kepada wakil kebun komuniti ketika Program Penyerahan Bantuan Pakej Kita Selangor 2.0 kepada kebun komuniti di Taman Sekinchan Jaya, sabak Bernam pada 18 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lapan kebun komuniti terima bantuan peralatan RM40,000

TANJONG KARANG, 19 OKT: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan berjumlah RM40,000 kepada lapan kebun komuniti di Kuala Selangor dan Sekinchan sebagai galakan mengusahakan pelbagai jenis tanaman.

Bantuan peralatan RM5,000 termasuk bahan input seperti benih, baja organik dan cuka kayu memanfaatkan kebun komuniti Taman Sri Setia, Saujana Utama Fasa 3, Jawatankuasa Penduduk Taman Yayasan serta Kejiranan Penduduk Fasa 2.

EXCO Pemodenan Pertanian dan Asas Tani Ir Izham Hashim memaklumkan bantuan melalui Pakej Kita Selangor 2.0 turut diberi kepada kebun komuniti Taman Sekinchan Jaya, Taman Muhibbah, Taman Padu Permai dan Taman Pertama.

“Pembelian peralatan diurus KoHijrah (Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad) yang telah mengenal pasti keperluan kebun komuniti berkenaan. Jadi hari ini (semalam), kita beri kepada mereka dengan harapan agar terus bergiat aktif dalam bidang pertanian.

EXCO Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim, meninjau tanaman sayur kebun komuniti ketika Program Penyerahan Bantuan Pakej Kita Selangor 2.0 kepada kebun komuniti di Taman Sekinchan Jaya, sabak Bernam pada 18 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bantuan ini merupakan komponen penting kepada jaminan bekalan makanan kerana projek pertanian dibangunkan atas tanah terbiar yang lapang dan sesuai mampu menyumbang kepada pengeluaran sayuran serta buah-buahan,” katanya.

Beliau ditemui pada program penyerahan bantuan tersebut di Dewan Terbuka Taman Sri Setia di sini yang turut dihadiri wakil rakyat Sekinchan Ng Suee Lim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor Rahilah Rahmat.

Ir Izham juga mempelawa mana-mana kebun komuniti diurus bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) memohon bantuan bahan input bagi memajukan hasil tanaman masing-masing.

“Saya yakin dengan semangat, keyakinan dan hubungan erat sesama komuniti akhirnya mereka (kebun komuniti) dapat menyumbang kepada jaminan bekalan produk pertanian, namun perlu dibuat secara berhemah supaya tidak berlaku pencemaran,” katanya.

8 Oktober lalu, Ir Izham berkata sejumlah RM250,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi memajukan 50 kebun komuniti di Selangor dengan setiap PBT perlu memilih empat daripadanya untuk diberi bantuan sama.


Pengarang :