Selangorkini
Mukhairi Ajmal diberi lilitan kapten oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin bagi mengetuai skuad B23 kebangsaan ke Mongolia untuk pusingan kelayakan Piala Asia B23 di Wisma FAM Kelana Jaya pada 20 Oktober 2021. Foto FACEBOOK FAM
AGENDA SUKANKINI

Lapan pemain Selangor FC tersenarai skuad B23, hadapi kelayakan Piala Asia

SHAH ALAM, 20 OKT: Lapan pemain Selangor FC tersenarai dalam barisan pemain skuad bawah 23 (B23) kebangsaan bagi pusingan kelayakan Piala Asia B23 yang berlangsung di Mongolia, hujung bulan ini.

Pemain tengah Gergasi Merah, Mukhairi Ajmal turut diberi kepercayaan menjadi kapten skuad B23 kebangsaan selain dua rakan sepasukan, Ahmad Zikri Khalili dan Harith Haiqal pula dipilih sebagai pemangku kapten.

Lima lagi pemain ialah Sikh Izhan, Azrin Afiq, Faiz Amer, Fahmi Daniel dan Saravanan Thirumurugan.

“Brad Maloney, pengendali skuad bawah 23 tahun negara telah memberikan minit permainan kepada kesemua pemain termasuk lapan pemain muda Selangor FC yang tersenarai menyertai kem latihan dalam perlawanan persahabatan.

“Beberapa pemain muda Selangor FC dilihat menjadi taruhan utama Brad Maloney dalam perlawanan persahabatan yang dijalankan antaranya Zikri Khalili, pemain bek kiri pasukan utama Selangor FC,” kata Selangor FC menerusi kenyataan.

Skuad kendalian Brad Maloney dijadual berlepas ke Ulaanbaatar hari ini bagi menghadapi saingan Kumpulan J pusingan Kelayakan Piala Asia B23.

Malaysia dijadual menentang Laos pada 25 Oktober diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia pada 28 Oktober dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober.


Pengarang :