ADN Taman Templer Mohd Sany Hamzan (kanan) menyampaikan baucar Jom Shopping kepada penerima di Pusat Khidmat Masyarakat Taman Templer, Selayang pada 5 Oktober 2021. Foto FACEBOOK SANY HAMZAN
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 1,000 warga Taman Templer terima manfaat baucar Jom Shopping

SHAH ALAM, 11 OKT: Sebanyak 1,040 baucar Jom Shopping diagihkan kepada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Wakil rakyatnya Mohd Sany Hamzan berkata baucar beli-belah di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sebanyak RM100 diberikan kepada mereka yang lahir pada September dan Oktober.

“Semua penerima boleh menggunakan baucar tersebut untuk berbelanja di Pasaraya NSK Selayang mulai hari ini hingga 17 Oktober,” katanya.

Beliau memaklumkan agihan dibuat sejak 4 Oktober di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Taman Templer dari jam 9.30 pagi sehingga 1 petang.

Menurutnya, inisiatif itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban golongan berkaitan terutama dalam mendepani cabaran pasca Covid-19.

Pada Mei tahun lalu, Kerajaan Negeri menamatkan pemberian khairat kematian berjumlah RM2,500 kepada warga emas susulan pelaksanaan pelarasan SMUE yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom Shopping.

Belanjawan 2021 memperuntukkan sejumlah RM27.5 juta menerusi SMUE 2.0 dengan pemberian baucar Jom Shopping serta bantuan khairat kematian sebanyak RM500.

 


Pengarang :