Selangorkini
Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada penerima dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Hulu Bernam di Dewan Orang Ramai Hulu Beram pada 14 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 13,000 individu disuntik menerusi program Selvax bergerak

SHAH ALAM, 21 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak tamat pada 17 Oktober selepas lima minggu beroperasi, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pemberian vaksin yang dijalankan di 25 Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya menyuntik 13,238 individu termasuk lebih 4,000 warga asing.

Antara DUN terlibat Sungai Tua, Hulu Bernam, Sijangkang, Kuala Kubu Bharu, Bukit Lanjan, Bandar Utama, Kinrara, Tanjung Sepat dan Batang Kali.

“Untuk DUN Batu Tiga, Dengkil dan Bandar Baru Klang, kita adakan dua kali program suntikan selepas mendapat sambutan.

“Lepas ini kita fokus kepada Selvax Remaja untuk pelajar 12 hingga 17 tahun yang dijangka berjalan pada November ini,” katanya kepada SelangorKini.

Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :