Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 177,000 warga emas dijangkiti Covid-19 setakat 30 September

SHAH ALAM, 2 OKT: Seramai 177,220 atau 7.9 peratus warga emas dijangkiti Covid-19 sejak wabak melanda negara sehingga 30 September lalu.

Ketua pengarah kesihatan berkata dalam tempoh sama, sebanyak 106 kluster membabitkan golongan itu dilaporkan dengan 3,598 kes positif dan 220 kematian.

“Sebanyak 14,248 atau 56.6 peratus kes kematian melibatkan warga emas dilaporkan sehingga minggu epidemiologi ke-38 tahun ini.

“Bagaimanapun, trend ini mula menunjukkan penurunan selaras dengan pelaksanaan program imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK) 2021,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Untuk rekod, seramai 3,148,438 warga emas lengkap divaksin dan 3,365,443 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian setakat 29 September.

Dr Noor Hisham turut menyarankan warga emas mendapatkan vaksin awal berikutan individu berusia 60 tahun ke atas lebih berisiko dijangkiti wabak berbanding golongan lain.

Menurutnya, jangkitan bertambah teruk sekiranya warga emas mempunyai komorbiditi seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik dan barah.

“Proses penyembuhan juga lebih perlahan dan rumit, jadi warga emas disaran mendapatkan vaksin awal kerana kajian menunjukkan ia selamat serta kesan sampingan sangat rendah,” katanya.


Pengarang :