Peniaga Yuslina Mohd Yusof mengisi air ke dalam tong sebagai persediaan berikutan naik taraf loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 ketika tinjauan di Jalan Kebun, Shah Alam pada 6 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 2,000 ahli SERVE turun padang agih air

SHAH ALAM, 13 OKT: Lebih 2,000 ahli Sukarelawan Selangor (SERVE) digerakkan mulai esok hingga Sabtu bagi membantu penduduk terlibat dengan kerja naik taraf aset Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketuanya Ahmad Danish Hairudin berkata ahli akan turun padang mengagihkan lebih 1,700 botol minuman lima liter sumbangan Air Selangor kepada penduduk terutama orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

“Kita sudah kenal pasti lokasi edaran. Esok pagi kita mulakan di Bukit Subang bersama EXCO Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi.

“Kawasan itu melibatkan tujuh bangunan pangsapuri. Jadi penduduknya ramai dan kita beri air minuman bagi mengurangkan beban mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Danish berkata mengikut jadual, sukarelawan akan pergi ke sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat antaranya Lembah Jaya, Pelabuhan Klang, Bukit Antarabangsa dan Seri Setia.

“Sukarelawan dari DUN yang tidak terlibat (kerja menyelenggara) ini akan membantu di kawasan padat,” katanya.

Minggu lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor sedia menggerakkan sukarelawan sepanjang kerja penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1.

Kerja bermula hari ini melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Dalam tempoh itu, sebanyak 105 lori tangki air digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di pautan http://hentitugas.airselangor.com.


Pengarang :