Penumpang mengimbas kod MySejahtera sebelum menaiki bas pulang ke kampung halaman ketika tinjauan di Terminal 17, Seksyen 17, Shah Alam pada 15 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Lebih 2,000 tiket balik kampung terjual di Terminal 17 Shah Alam

SHAH ALAM, 16 OKT: Lebih 2,000 individu pulang ke kampung halaman menerusi Terminal 17 di sini sejak kebenaran rentas negeri Isnin lalu.

Jurucakap Terminal 17, Mohd Hafidz Othman berkata jumlah itu merangkumi jualan tiket secara dalam talian dan sebahagian lagi menerusi jualan di kaunter.

Mohd Hafidz Othman

“Sebahagian besar destinasi yang dituju adalah Pantai Timur di mana permintaannya agak tinggi hingga beberapa syarikat bas perlu menyediakan bas tambahan,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata sebanyak 300 individu menaiki bas bagi setiap sejam untuk lapan platform yang disediakan bagi memastikan kelancaran di terminal berkenaan.

“Dari segi pemantauan SOP (tatacara operasi piawai) kita memastikan hanya penumpang lengkap dua dos sahaja dibenarkan menaiki bas dengan mereka perlu mengemukakan sijil vaksinasi ketika membeli.

“Sebelum bas bertolak pihak berkuasa akan memeriksa sijil vaksinasi setiap individu di dalam bas bagi mengelak berlaku penipuan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran perjalanan rentas negeri berkuat kuasa Isnin lepas dan semua aktiviti pelancongan tempatan dibenarkan selepas lebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksin.


Pengarang :