Rodziah Ismail (tiga, kanan) bergambar bersama penerima geran alatan Sitham Yayasan Hijrah Selangor di Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 11 Oktober 2021. Turut hadir Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin (dua, kanan). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Lebih 300 usahawan India dapat manfaat Sitham

KUALA SELANGOR, 11 OKT: Lebih 300 usahawan India di negeri ini menerima manfaat menerusi program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham).

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata jumlah yang direkodkan antara 2019 hingga tahun lalu membabitkan penerima fasa satu dengan dana RM2 juta.

“Proses penghantaran alatan lambat kerana beberapa kekangan seperti perintah kawalan pergerakan dan darurat. Saya berharap semua pemohon bersabar dan proses ini akan dipercepat susulan rentas negeri dibenarkan kerana terdapat alatan luar dari Selangor,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan mesin memproses makanan haiwan kepada penternak lembu M Visvaath di Taman Raja Musa di sini hari ini.

Rodziah berkata program tersebut menerima peruntukan RM1 juta setiap tahun dan usahawan yang berminat boleh memohon menerusi laman sesawang Hijrah Selangor.

Sitham dilancarkan pada September 2019 menumpukan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Empat program keusahawanan ditawarkan iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan (Grow) dan program bantuan peralatan perniagaan (Geran).

 


Pengarang :