Selangorkini
Kempen larangan merokok dan rokok elektronik (vape) di premis makanan. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Lebih 3,000 notis kesalahan merokok dikeluar setakat Oktober – menteri

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Sebanyak 3,419 notis kesalahan merokok di tempat makan telah dikeluarkan sejak Januari hingga 24 Oktober tahun ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata Terengganu merupakan antara lima negeri yang merekodkan pengeluaran notis tertinggi dengan 652 notis diikuti Pahang (601), Sarawak (365), Perak (356) dan Kuala Lumpur (303).

Beliau berkata notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

“Kementerian Kesihatan (KKM) telah mempergiat aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan khususnya selepas peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara dan kebenaran makan di tempat makan telah diberikan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua tempat makan termasuk restoran berhawa dingin dan tempat makan terbuka telah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok di bawah Peraturan 11(1)(d) PPKHT 2004 pindaan 2018 berkuat kuasa 1 Januari 2019 di seluruh negara.

Khairy menegaskan larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok sebaliknya dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat itu kepada golongan perokok serta perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling perokok.

Katanya KKM komited membantu golongan berkenaan untuk berhenti merokok dan pendaftaran bagi perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com.

– BERNAMA


Pengarang :