Sukarelawan Team Selangor mengangkat air minuman untuk diagihkan kepada penduduk di Pangsapuri Melati Taman Bukit Subang, Sungai Buloh pada 14 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 500 keluarga Taman Bukit Subang terima air minuman

SUNGAI BULOH, 14 OKT: Lebih 500 keluarga di Taman Bukit Subang menerima botol air minuman lima liter sumbangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Sumbangan diagihkan kepada penduduk Pangsapuri Melati dan Pangsapuri Lili oleh EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman dan wakil rakyat Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi.

Mohd Khairuddin berkata seramai 45 individu daripada Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Team Selangor terlibat dalam agihan botol air minuman itu.

“Agihan botol air minuman kepada penduduk adalah tanggungjawab Kerajaan Negeri dengan bantuan sukarelawan sepanjang ketiadaan air.

“Kita yakin usaha ini dapat membantu meringankan beban rakyat dan bagi keluarga yang tidak berkemampuan, warga emas dan orang kelainan upaya,”katanya.

Mohd Khairuddin turut memaklumkan penduduk yang mempunyai masalah bekalan air diminta berjumpa dengan pengerusi persatuan masing-masing.

Sementara itu, Mohd Najwan berkata pihaknya tidak menerima aduan kekurangan bekalan berikutan penduduk telah membuat persiapan awal penyenggaraan aset kritikal Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1.

“Setakat ini tiada aduan diterima berhubung penduduk terjejas kerana situasi bukannya pencemaran selain faktor mereka menerima maklumat lebih awal.

“Jika ada kita mohon penduduk memaklumkan kepada pengerusi persatuan masing-masing supaya Air Selangor dapat menghantar bekalan air,”katanya ditemui.

Penyenggaraan aset kritikal Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 dijalankan semalam setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Susulan itu, 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di pautan http://hentitugas.airselangor.com.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bekalan air di kawasan terlibat dalam penyenggaraan aset kritikal Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 diagih berperingkat petang ini.


Pengarang :