ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (tengah) bergambar bersama wakil penduduk sambil memegang beg kitar semula dalam program Pengasingan Sisa Dari Rumah DUN Subang Jaya di Kabin Komuniti Rukun Tetangga (KRT) USJ 2, Subang Jaya pada 9 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 70,000kg sisa kitar semula dari kediaman berjaya dikumpul

SUBANG JAYA, 9 OKT: Sebanyak 70,759 kilogram (kg) sisa kitar semula berjaya dikumpul sepanjang setahun Program Pengasingan Sisa Dari Rumah DUN Subang Jaya.

Wakil rakyat Michelle Ng Mei Sze berkata jumlah setakat September itu diperoleh daripada lapan kawasan komuniti melibatkan 3,201 rumah penduduk.

Jelasnya program bagi menjaga alam sekitar itu dijalankan sejak Ogos tahun lalu dengan permulaan membabitkan penduduk USJ 5 dan USJ 2.

“Bagaimanapun apabila komuniti melihat manfaat program ini, semakin ramai yang sertai dan ini memberi kesan positif.

“Dengan program ini kita dapat menjaga persekitaran dan mengurangkan sisa pepejal dalam rumah. Aktiviti ini sangat bermanfaat kepada penduduk,” katanya ketika merasmikan program hari ini.

Michelle Ng berkata lebih separuh kutipan iaitu 32,215 kg dikutip daripada kediaman penduduk USJ 5 diikuti USJ 2 (14,977 kg) dan USJ 9 (13,290 kg).

“Objektif program ini tercapai. Selain membantu MBSJ (Majlis Bandaraya Subang Jaya) ia turut mendidik orang awam mencintai alam sekitar.

“Kawasan terlibat juga mendapat untung hasil daripada jualan barang kitar semula. Wang itu boleh diguna untuk keperluan komuniti masing-masing,” katanya.

Menurutnya program akan diteruskan dan pihaknya mengalu-alukan penglibatan lebih ramai komuniti sekitar DUN.

 

 


Pengarang :