Skytrex Sungai Congkak
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Libur santai, 45 destinasi unik gamit pengunjung

Masih banyak tempat menarik belum kita teroka, sebahagiannya hanya pernah dengar cerita atau lihat gambar. Apabila wabak Covid-19 perlahan-lahan terkawal, kini tiba peluang Pusing Selangor Dulu! bagi mengurangkan tekanan selepas menempuh perintah kawalan pergerakan selama beberapa bulan.

Memang banyak lokasi menarik di negeri ini, sekurang-kurangnya 150 hingga 200 taman rekreasi, kedai makan, tapak bersejarah, pusat perkelahan dan kompleks beli-belah yang boleh kita kunjungi.

Wartawan Nadiah Zamlus memilih 45 lokasi pelancongan unik di semua sembilan daerah yang mesti kita lawat bersama keluarga. Kerajaan Negeri menyediakan 10,000 keping baucar percutian bernilai RM100 setiap satu yang boleh dimohon mulai Oktober.

SABAK BERNAM

1. Pantai Bagan Nakhoda Omar

Sesuai untuk tenangkan jiwa. Berdekatan dengan gerai Mi Udang Bagan Nakhoda Omar yang dibuka hampir setiap petang

2. Kelong Paradise Waterfront Resort

Tumpuan kaki pancing, ia terletak 15 batu nautika dari Sabak Bernam

3. Ah Ma House Sekinchan

Galeri berkonsep rumah tradisi yang membawa nostalgia suasana kampung. Dipenuhi barangan klasik seperti model lama televisyen, radio dan perabot rotan

4. Faridah Mentarang Bakar

Pengunjung boleh merasai masakan mentarang iaitu sejenis spesis siput yang jarang didapati di negara ini. Ia disajikan secara bakar, masak lemak, rebus dan goreng

Faridah Mentarang Bakar

5. Restoran Lembah Bernam

Menawarkan menu daging landak, rusa dan pelanduk. Hidangan lain termasuk jenis ikan baung, tapah, ikan sepat, puyu, udang galah dan ulam- ulaman

KUALA SELANGOR

1. Bukit Malawati

Pusat pentadbiran pertama Kesultanan Selangor. Terdapat meriam lama, makam sultan dan kerabat diraja. Terletak berdekatan Taman Alam Kuala Selangor dan jeti ke Sky Mirror

2. Sky Mirror

Beting pasir ini disamakan dengan Salar De Uyuni, dataran garam di Bolivia. Rakaman foto seperti terapung di kaki langit menjadi aktiviti wajib ketika berada di sini

3. Blue Tears, Sungai Selangor

Lokasi tumpuan untuk menyaksikan fenomena ‘blue tears’, kumpulan alga yang menghasil-
kan cahaya biru terang di air laut

4. Nasi Ambeng Warung Ibu

Terletak di Kampung Sungai Gulang-Gulang, ia menghidangkan juadah nasi etnik Jawa dengan rasa asli

5. Kelip-kelip Kampung Kuantan

Boleh menikmati keindahan kumpulan kelip-kelip berterbangan atau hinggap di pokok bakau dengan menaiki sampan. Dikatakan hanya ada dua santuari serangga ini di dunia

HULU SELANGOR

1. Perigi Tujuh, Serendah

Berpeluang melihat kunci air berusia lebih 100 tahun tinggalan zaman kolonial yang masih teguh. Ia juga kawasan rekreasi yang terjaga rapi

2. Berkayak di Kuala Kubu Bharu

Peminat sukan air boleh menikmati pengalaman aktiviti berkayak sejauh lapan kilometer di hulu Sungai Selangor yang mempunyai jeram besar

Berkayak di Kuala Kubu Bharu

3. Florescence by World of Phalaenopsis, Batang Kali

Kafe di Jalan Batang Kali, Hulu Yam Bharu ini dipenuhi pokok orkid, suasananya seperti di dalam taman

4. Dusun Bonda, Kampung Sungai Tamu

Lokasi pelancongan yang menawarkan khidmat perkhemahan di dalam hutan atau ‘glamping’

5. The Stick Guides, Batang Kali

Asalnya lombong bijih timah, pengunjung boleh mandi di Sungai Meranti dan menaiki titi gantung

GOMBAK

1. Taman Ekstrem Gua Damai

Lokasi tumpuan penggemar sukan mendaki bukit berbatu. Kemudahan di sini antaranya lampu memanjat waktu malam dan taman permainan kanak-kanak

2. Taman Eko Rimba Sungai Kanching

Antara destinasi ekopelancongan di Selangor, ia mempunyai tujuh lapisan air terjun dengan ketinggian 208 meter

3. Resort Taman Eko Rimba Komanwel

Tempat menarik dengan landskap hutan yang indah. Sesuai untuk berkhemah dan berkelah bersama keluarga

4. Tasik Biru Kundang

Diberi nama kerana airnya warna biru. Selain berkelah, anda boleh memancing dan bermain jet ski

5. Kuil Batu Caves

Tempat pelancongan yang amat dikenali di serata dunia. Mempunyai 272 anak tangga ke gua batu kapur yang dicat dengan pelbagai warna

Kuil Batu Caves

KLANG

1. Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah

Diwujudkan pada 2002 bagi memperingati Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pelbagai dokumen dan bahan bersejarah Kesultanan Selangor dipamerkan di galeri berkenaan

2. Kota Raja Mahadi

Struktur tinggalan perang saudara Selangor. Dibina pada 1866, kubu pertahanan ini masih kukuh dan dijaga rapi

3. Masjid Diraja Sultan Suleiman

Masjid negeri Selangor yang memaparkan seni bina Moor dan Inggeris. Antara mercu tanda Klang sebagai bandar diraja

4. Masjid India Muslim Tengku Kelana

masjid ini dibina pada 1910. Binaannya menonjolkan seni bina Islam Andalusia

5. Tanjung Harapan

Lokasi menarik untuk kaki pancing. Ikan yang sering dibawa pulang termasuklah malong, belukang, duri, sembilang dan kerapu

PETALING

1. Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam

Perpustakaan lengkap dengan bilik tayangan filem 3 dimensi (3D) dan 6 dimensi (6D). Lokasi menarik untuk kanak-kanak bermain sambil belajar

2. Escape Challenge, Paradigm Mall, Petaling Jaya

Pusat aktiviti sukan lasak seperti ‘sling shot’, ‘aerobat’, ‘banana flip’ dan ‘jumping jack’ dalam pusat beli belah. Harga tiket RM45 hingga RM68

Escape Challenge, Paradigm Mall, Petaling Jaya

3. Taman Persahabatan Selangor Jepun, Shah Alam

Terletak di tepi Taman Tasik Shah Alam. Mempunyai tarikan seni taman Jepun seperti Laman Zen, Kolam Maze dan Gerbang Torii Tsukubai

4. Air Rider One Utama

Pengunjung berpeluang merasai pengalaman terjun udara. Latihan dan peralatan turut disediakan

5. Pancutan Air Berirama, Taman Tasik Shah Alam

Tarikan terbaharu di Shah Alam. Air memancur mengikut rentak muzik dan dilengkapi dengan sistem diod pemancar cahaya (LED)

HULU LANGAT

1. Skytrex Sungai Congkak

Pengunjung boleh meluncur atas Sungai Congkak. Aktiviti luncur keluang sejauh 110 meter. Harga tiket RM55 hingga RM80

2. Air Terjun Sungai Tekala

Sebahagian Taman Warisan Negeri Selangor. Pengunjung boleh menyewa chalet atau mendirikan khemah di tapak yang disediakan

3. Gunung Nuang

Perjalanan ke puncak mengambil masa empat hingga lima jam. Pengunjung berkhemah di Kem Lolo atau Kem Pacat di gunung itu. Bayaran RM1 seorang

4. Ajlaa Village Resort

Terdapat 16 chalet terapung atas kolam semula jadi dan pengunjung boleh memancing dari dalam bilik chalet

5. Warung Bunian, Kampung Sungai Merab

Tumpuan ramai khususnya dari Putrajaya dan kawasan sekitarnya. Menawarkan menu masakan kampung, antaranya nasi lemak dibalut telur

KUALA LANGAT

1. Istana Bandar

Pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Selangor lebih 100 tahun lalu. Di sebelahnya terletak Masjid Sultan Ala’eddin yang mempunyai seni bina indah

2. Pantai Morib

Pantai paling terkenal di Selangor, kemudahan disediakan lengkap termasuk surau, tandas awam, medan selera, laluan pejalan kaki dan taman permainan kanak-kanak

3. Luncur udara Bukit Jugra

Dari puncaknya yang ada rumah api, ia dijadikan tapak utama aktiviti luncur udara di negara ini. Berdekatan dengannya, pengunjung boleh ke Tadom Hill Resort untuk berakit, menakik turun guna tali (abseiling) dan kenderaan lasak bermotor ATV

4. Kopi Senget, Teluk Panglima Garang

Bangunannya sedikit senget dan dipenuhi dengan pelbagai pilihan kopi. Selain itu, Roti Canai Terowong di Kanchong Darat juga menjadi tumpuan pelancong

5. Perkampungan Kebudayaan Mah Meri, Pulau Carey

Peluang untuk melihat kehidupan Orang Asli etnik Mah Meri lebih dekat. Turut mempamerkan seni ukiran arca kayu yang unik

SEPANG

1. Pantai Bagan Lalang

Pantainya landai dan ombak tidak terlalu kuat. Sesuai untuk kanak-kanak berlari sambil bermain air

2. Tamarind Square, Cyberjaya

Pusat beli belah terbesar berkonsepkan seni taman di dalam hutan. Mempunyai cawangan kedai buku ‘Book Xcess’ yang terbesar di negara ini

Tamarind Square, Cyberjaya

3. Jeti Sirip Biru, Sungai Sepang Besar

Terdapat rumah bot sepanjang sungai untuk pengunjung khususnya kaki pancing bermalam. Dibina dengan kemudahan tandas dan dapur

4. Aero Bar, Gamuda Cove

Boleh makan dan minum sambil terapung pada ketinggian 35 meter. Waktu terbaik melihat pemandangan ketika matahari terbenam

5. Paya Indah Discovery Wetland

Pengunjung boleh berbasikal, menunggang kuda serta melihat burung, badak air dan buaya

 


Pengarang :