Borhan Aman Shah bercakap kepada media dalam Program `World Food Day 2021′ Makanan Tradisi Negeri Selangor di Kampung Sungai Lang Tengah, Banting pada 16 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Lori tangki air digerak, mudahkan penduduk Tanjung Sepat dapat bekalan

SHAH ALAM, 19 OKT: Bekalan air di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat masih terkawal, kata wakil rakyatnya.

Borhan Aman Shah berkata lori-lori tangki telah dihantar ke kawasan-kawasan terlibat susulan kerja pembaikan insiden paip pecah berhampiran Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang.

“Antara kawasan terlibat ialah di Tanjung Sepat, Batu Laut dan Kg Bukit Bangkong. Maklumat awal diterima bekalan air bagi penduduk terlibat masih cukup kerana mereka masih menyimpan air tadahan semasa proses penyenggaraan.

“Namun saya telah meminta penduduk memaklumkan kepada ketua kampung atau pusat khidmat masyarakat jika ada kes-kes yang memeerlukan bantuan dan air bersih,” katanya kepada SelangorKini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kerja kecemasan dan pembaikan insiden paip pecah siap jam 2 petang tadi, empat jam lebih awal daripada sasaran.

Katanya bekalan air ke 145 kawasan di Sepang dan 11 lagi di Kuala Langat disalurkan secara berperingkat mulai jam 2.30 petang tadi.

Semalam syarikat itu memaklumkan berlaku insiden paip pecah berhampiran Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang dan susulan kejadian syarikat menutup bekalan air pada 9 malam tadi bagi membolehkan kerja pembaikan paip berjalan lancar.

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 petang esok dan tempoh masa pemulihan bergantung kepada jarak lokasi premis serta tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat semasa di semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram atau hubungi talian 15300.

Sebarang pertanyaan boleh diaju di laman sesawang http://www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.


Pengarang :