Selangorkini
Wakil Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyampaikan bantuan kepada keluarga terkesan akibat Covid-19 di sekitar Klang dan Kuala Selangor pada 9 Oktober 2021. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais bantu 516 keluarga terkesan pandemik di Klang, Kuala Selangor

SHAH ALAM, 10 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah kepada 516 keluarga di sekitar Klang dan Kuala Selangor yang terkesan Covid-19, semalam.

Agensi itu dalam kenyataan di Facebook memaklumkan sejumlah RM51,600 diperuntuk dalam bentuk bantuan makanan asas seperti beras, tepung dan minyak masak bernilai RM100.

Katanya, agihan kepada 40 penerima di Klang dan 476 di Kuala Selangor itu dibantu dua rakan strategik Mais iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Meru dan Pertubuhan Kelab Sosial dan Kebajikan Cakna Puncak Alam (ICare)

“Terima kasih kepada semua pembayar fidyah, semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban mereka semua.

“Kepada anda yang masih belum sempat menunaikan kewajipan membayar fidyah. Jom bayar fidyah secara atas talian melalui e-MAIS,” katanya.

Masyarakat Islam yang ingin membayar fidyah secara dalam talian boleh berbuat demikian menerusi pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Pada 13 Ogos, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah berjumlah RM3 juta kepada 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 sejak awal tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bantuan tersebut disalurkan dengan anggaran RM30,000 dan RM40,000 setiap minggu serta dilakukan secara berterusan di seluruh negeri.


Pengarang :