Selangorkini
Wakil Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyampaikan bantuan kepada 586 keluarga di Petaling, Sepang dan Hulu Langat pada 22 Oktober 2021. Foto FACEBOOK MAIS
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais bantu 586 keluarga terkesan pandemik di tiga daerah

SHAH ALAM, 24 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah kepada 586 keluarga di sekitar Petaling, Sepang dan Hulu Langat yang terkesan akibat Covid-19.

Agensi itu dalam kenyataan di Facebook memaklumkan sejumlah RM58,600 diperuntuk dalam bentuk bantuan makanan asas seperti beras, tepung dan minyak masak bernilai RM100.

Katanya, agihan kepada 267 penerima di Petaling, 29 di Sepang dan 290 di Hulu Langat itu dibantu 17 rakan strategik Mais.

“Terima kasih kepada semua pembayar fidyah, semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban mereka semua.

“Kepada anda yang masih belum sempat menunaikan kewajipan membayar fidyah, jom bayar fidyah secara atas talian melalui e-MAIS,” katanya.

Masyarakat Islam yang ingin membayar fidyah secara dalam talian boleh berbuat demikian menerusi pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Pada 29 September Pengerusi Mais berkata pihaknya meluluskan pemberian bantuan bernilai RM7.56 juta menerusi program agihan fidyah yang dilancarkan sejak 28 Disember tahun lalu.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bantuan tersebut disalurkan dengan anggaran RM30,000 dan RM40,000 setiap minggu serta dilakukan secara berterusan di seluruh negeri.


Pengarang :