Pengarah Kanan Pembangunan Manusia dan Pengurusan Proton Holdings Berhad Amran Mohd Tomin ditemui pada program Jejalah Selangor Bekerja di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor di Kuala Selangor pada 30 Oktober 2021. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Majikan iktiraf Jelajah Selangor Bekerja, bantu syarikat kembang operasi

KUALA SELANGOR, 30 OKT: Majikan menyifatkan inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan Jejajah Selangor Bekerja membantu syarikat mengembangkan operasi dengan menyediakan tenaga kerja.

Pengarah kanan Pembangunan Manusia dan Pengurusan Proton Holdings Berhad (Proton) berkata pihaknya yang mempunyai dua kilang pengeluaran di Shah Alam dan Tanjung Malim, Perak sentiasa memerlukan pekerja untuk memenuhi permintaan.

Menurut Amran Mohd Tomin, program berkenaan adalah salah satu platform dan Proton menyokongnya dengan menyertai enam jelajah yang bermula 23 Oktober lalu.

“Program ini juga bukan sahaja buka peluang kerja kepada warga Selangor tetapi bantu tingkat kemahiran pekerja kerana kebanyakan syarikat terbabit termasuk Proton menyediakan latihan.

“Kita ucapkan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari atas kejayaan menganjurkan program baik ini,” katanya ditemui pada Jejalah Selangor Bekerja di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor di sini, hari ini.

Amran turut menjelaskan Proton sudah menawarkan kerja kepada sebilangan peserta program tersebut yang difahamkan akan melapor diri dalam masa terdekat selepas lulus ujian kesihatan.

Pengurus Besar Restoran Tony Romas Hakim Yit Abdullah. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI

Pengurus Besar Restoran Tony Romas Hakim Yit Abdullah pula berkata Jelajah Selangor Bekerja memberi peluang kepada majikan mendapatkan lebih ramai pekerja di lokasi lain seperti di Kuala Selangor.

“Mungkin di bandar ramai mengetahui jenama Tony Romas tetapi agak baharu di luar bandar, pendedahan seperti ini baik buat kami untuk mencari bakat baharu.

“Ini kali pertama kami sertai program ini dan sambutannya agak baik,” katanya.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Jelajah Selangor Bekerja yang dijadual bermula 23 Oktober hingga 27 November.

Berlangsung secara hibrid, hampir 200 syarikat menyertai siri jelajah di Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Langat dan Petaling.

Tarikh dan lokasi jelajah seterusnya seperti berikut:

1. Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu (6 November)
2. Dewan Demesne, Hulu Langat (13 November)
3. Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buluh (20 November)
4. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November)


Pengarang :