Kemeriahan suasana penerima dalam Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Majlis konvokesyen Kuis secara fizikal 1 Disember

SHAH ALAM, 18 OKT: Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) ke-23 dan 24 diadakan secara fizikal pada 1 hingga 6 Disember 2021 serta 24 hingga 29 Januari 2022.

Pemangku Rektor Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata majlis berkenaan berlangsung di Pusat Konvokesyen Kuis selepas mendapat persetujuan Ahli Lembaga Pengarah dan barisan pengurusan.

“Penangguhan Majlis Konvokesyen ke-23 pada Ogos 2020 adalah disebabkan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Majlis konvokesyen ini akan dilaksanakan secara fizikal yang hanya melibatkan graduan sahaja,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Kuis mengambil langkah proaktif dengan memastikan pelaksanaan majlis mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan graduan.

Seramai 2,407 graduan akan terbabit pada Majlis Konvokesyen ke-23 dan 2,178 graduan lagi pada Majlis Konvokesyen ke-24. Secara keseluruhan seramai 25,469 orang graduan telah dilahirkan Kuis sejak 1998 hingga 2021.

Pra graduan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Majlis Konvokesyen Kuis menerusi portal e-konvo http://ekonvo.kuis.edu.my atau layari laman sesawang www.kuis.edu.my.


Pengarang :