Selangorkini
Barisan pemain Harimau Muda dalam aksi pertama Kumpulan J kelayakan Piala Asia B-23 menentang Laos di Stadium MFF, Ulaanbaatar pada 25 Oktober 2021. Foto Facebook FAM
AGENDA SUKANKINI

Malaysia benam Laos perlawanan kelayakan Piala Asia B-23

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Malaysia memulakan cabaran pada Kelayakan Piala Asia 2022 Bawah-23 (U-23) dengan langkah kanan apabila menang nipis 1-0 ketika bertemu Laos dalam perlawanan Kumpulan J di Stadium Mongolia Football Federation (MFF) di Ulaanbaatar, hari ini.

Walaupun mengawal perlawanan pada separuh masa pertama di padang tiruan dengan keadaan suhu jatuh di bawah 10 darjah celsius, Harimau Muda hanya mampu untuk mencipta beberapa peluang terhadap pasukan Laos yang bermain dengan aggresif.

Peluang terbaik terhidang pada minit ke-36 menerusi cubaan jarak jauh Luqman Hakim Shamsuddin, yang berjaya di tumbuk penjaga gol Solasak Thilavong, namun muntahan bola itu gagal digunakan sepenuhnya Muhammad Azam Azmi.

Pada separuh masa kedua, sepakan percuma pada minit ke-50 yang diambil Nik Akif Syahiran hanya melepasi palang gol, manakala Laos berjaya mengucarkacirkan kawasan hadapan gol Malaysia, namun berjaya dikeluarkan pertahanan Malaysia.

Akhirnya keputusan Brad Maloney untuk membawa masuk tiga pemain simpanan pada minit ke-66, telah membuahkan hasil dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Pemain gantian Quentin Cheng melakukan sepakan lintang ke arah pintu gol, yang kemudiannya dengan mudah berjaya ditolak masuk Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-68, untuk gol kemenangan Malaysia.

Anak buah Brad, mendapat satu lagi peluang untuk melebarkan gol pada minit ke-82, namun T. Saravanan yang menerima bola hantaran lintang tinggi, gagal menanduk bola masuk.

Terdahulu pada perlawanan pembukaan Kumpulan J, pasukan tuan rumah Mongolia seri 1-1 ketika menentang Thailand.

Malaysia selepas ini akan bertemu Mongolia pada 11 pagi Khamis (28 Okt), sebelum menutup perlawanan Kumpulan J mereka menentang Thailand pada 11 pagi 31 Okt.

Kemenangan Malaysia tadi, membolehkan negara mendahului kumpulan dengan tiga mata, diikuti Mongolia dan Thailand dengan masing-masing satu mata, dan Laos di kedudukan tercorot.

Sejumlah 16 pasukan akan layak untuk peringkat akhir Piala Asia U-23 di Uzbekistan yang dijadualkan berlangsung 1-19 Jun 2022.

– BERNAMA

 


Pengarang :