Hamidi melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Sepang pada 21 Oktober 2021. Foto PENYELARAS DUN DENGKIL
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mangsa banjir di Dengkil terima bantuan makanan, sukarelawan digerak bersih rumah

SHAH ALAM, 21 OKT: Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil menghulurkan bantuan makanan kepada 50 mangsa banjir di Kampung Orang Asli Kolam Air dan Batu 28, Sepang.

Pegawainya Hamidi A Hasan berkata bantuan lain menyusul bergantung kepada keperluan dan permintaan penduduk terjejas akibat banjir kilat petang semalam.

Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang juga sudah menggerakkan jentera bagi membantu penduduk terkesan di kawasan lain.

“Selepas banjir surut, kami akan bantu bersihkan rumah penduduk dengan kerjasama Majlis Penggerak Belia Selangor (PeBS),” katanya di sini, hari ini.

Semalam, tujuh kampung dan dua perumahan terjejas akibat hujan lebat sejak jam 1 tengah hari menyebabkan air Sungai Langat melimpah ke beberapa kawasan.

Antara kawasan terbabit Kampung Sungai Merab Jaya, Kampung Lalang, Kampung Ampar Tenang, Kampung Cemperai, Kampung Sri Tanjung, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Kampung Orang Asli Batu 28 Jenderam, Taman Delima dan Taman Baiduri.

Sementara itu, sebanyak 100 rumah di Taman Dataran Abadi dan Kampung Labu Lanjut terjejas akibat ban Sungai Labu pecah dan air mengalir ke kawasan rumah penduduk.

Tiga pusat pemindahan sementara dibuka bagi menempatkan 200 penduduk terjejas.


Pengarang :