Pengguna Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) menunggu giliran untuk menaiki pengangkutan awam itu ke destinasi masing-masing ketika tinjauan di Stesen LRT Pasar Seni pada 25 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Masuk fasa endemik, bilangan penumpang tren, bas dijangka naik 80 peratus

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Prasarana Malaysia Bhd meramalkan peningkatan dalam bilangan penumpang untuk perkhidmatan kereta api dan bas di bandar hingga 80 peratus pada 2022, lebih baik daripada sejak awal pandemik tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Azharuddin Mat Sah berkata unjuran itu dijangka mencapai tahap pra-pandemik pada 2019 sejajar dengan pembukaan semula ekonomi negara.

“Dari segi persediaan untuk memasuki endemik, kami akan selalu memastikan bahawa perkhidmatan kami selamat, dengan melaksanakan prosedur operasi standard yang ketat seperti yang dinasihatkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Mengenai kesan yang disebabkan oleh COVID-19, beliau berkata purata harian jumlah penumpang Prasarana pada masa ini adalah 380,000 pada 13 Oktober 2021, menurun di antara 40 peratus dari 2020 dan sekitar 70 peratus di peringkat pra-pandemik pada 2019.

“Dengan itu, kami mengharapkan sokongan kerajaan untuk menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan kami,” katanya kepada Bernama.

Mohd Azharuddin menjangkakan kerajaan melanjutkan pas perjalanan tanpa had My30 dan menyokong masa depan yang lebih lestari untuk sistem pengangkutan awam dalam Bajet 2022 yang akan datang.

“Kami tidak sabar-sabar menggantikan bas yang berusia kami dengan kenderaan elektrik (EV) dan menyasarkan semua bas kami diganti sepenuhnya dengan EV menjelang 2030,” katanya.

Tambahan lagi, beliau berkata Prasarana turut merancang untuk menaik taraf perhentian bas dan laluan pejalan kaki di Lembah Klang sebagai sebahagian daripada inisiatifnya bagi meningkatkan ketersambungan ‘first mile last mile’ dan pengalaman pelanggan.

Baru-baru ini, Prasarana melaksanakan lima langkah jangka pendek daripada 23 cadangan yang bertujuan untuk menambah baik operasi Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya berikutan kemalangan dua kereta api pada Mei 2021.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :