Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan tablet kepada Penghulu Mukim daerah Petaling, Mohd Ashraf Mohd Norshah pada Majlis Penyampaian Komputer Tablet Kepada Penghulu Negeri Selangor di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam pada 20 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB agih 57 tablet, kad sim kepada penghulu mukim Selangor

SHAH ALAM, 20 OKT: Seramai 57 penghulu mukim di Selangor menerima tablet dan kad sim percuma sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Sumbangan itu disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam satu majlis di Foyer Bangunan SUK hari ini.

Amirudin dalam ucapan berkata tanggungjawab penghulu dahulu dan kini berbeza mengikut peredaran zaman serta berubah fasa demi fasa.

“Jika dahulu tugas penghulu mendamaikan kampung, lesen, permit, kebenaran untuk penguatkuasaan tertentu dan keharmonian, namun kini menjurus kepada pentadbiran dan mengurus bencana.

“Penghulu kini banyak menguruskan aspek-aspek berkaitan data, maklumat dan kebarangkalian yang menjurus ke arah proses digitalisasi yang memerlukan kemudahan,”katanya.

Amirudin bagaimanapaun berkata kemudahan teknologi penggunaan tablet hanya 25 peratus tetapi perkara utama adalah bagaimana penghulu hendak menggunakannya untuk manfaat rakyat.

“Secara keseluruhan sumbangan ini kecil tetapi mengorak peluang besar untuk proses digitalisasi dalam penjawat awam termasuk penghulu kerana mereka juga mempunyai balai sendiri dan bergerak dalam komuniti setiap hari.

“Mari kita usaha sama-sama membangunkan negeri dan memastikan Selangor pulih selepas dilanda pandemik Covid-19 yang tidak pernah dijangka. Terima kasih kepada MBI kerana merealisasikan harapan penghulu setelah sekian lama,”katanya.

Majlis turut dihadiri EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek.


Pengarang :