Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 27 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Contohi keperibadian Nabi Muhammad dalam kehidupan

SHAH ALAM, 18 OKT: Dato’ Menteri Besar meminta umat Islam mencontohi sebaik mungkin keperibadian mulia Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu merupakan tindakan terbaik sebagai mengingati jasa dan peranan baginda.

“Ambil teladan daripada panduan yang baginda ucapkan, tunjukkan serta lakukan.

“Marilah kita sama-sama berselawat ke atas junjungan besar kita,” katanya menerusi perutusan Maulidur Rasul 1443 Hijrah.

Amirudin berkata Islam tersebar luas ke seluruh dunia hasil daripada berkat usaha dan jerih perih Nabi Muhammad SAW berdakwah selama 23 tahun.

“Misi kerasulan baginda ternyata berbeza kerana baginda tidak diutuskan sekadar untuk kaum Arab tetapi kerahmatan yang baginda bawa dirasakan getarannya seluruh alam (rahmatan lil a’lamin).

“Tidak perlu dinyatakan di sini betapa besarnya pengaruh dan sumbangan agama Islam kepada tamadun dunia. Selain tauhid dan akhlak, agama ini memberi kesan segenap aspek sama ada pemikiran, sains dan teknologi mahupun seni dan kesusasteraan,” katanya.


Pengarang :