Allahyarham Mamat Khalid. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MB: Negara kehilangan sutradara tersohor, berbakat

SHAH ALAM, 24 OKT: Dato’ Menteri Besar menyifatkan negara kehilangan seorang sutradara tersohor dan berbakat selepas pengarah filem terkenal Mamat Khalid meninggal dunia tengah malam tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata karya Allahyarham cukup diminati ramai selain sarat dengan mesej tersirat serta kritikan sosial.

“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya menerusi Twitter.

Allahyarham Mamat Khalid meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah malam tadi di Hospital Slim River, Perak.

Allahyarham yang dilahirkan di Ipoh, meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.

Antara filem terkenal dihasilkan Allahyarham adalah Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah, Rock dan 18 Puasa di Kampong Pisang yang meninggalkan kesan mendalam kepada peminat filem genre lucu dan hiburan keluarga.

 


Pengarang :